AM > BERITA

SMC Bandar Sunway Dianugerah JCI Gold Seal Of Approval

09/08/2024 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) menerima Akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) yang diiktiraf di peringkat global, The Gold Seal of Approval menerusi Program Hospital, baru-baru ini.

SMC dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu menjadikan pusat perubatan itu sebagai hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama bagi seluruh hospital termasuk Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Menurut kenyataan itu akreditasi berkenaan mengukuhkan kedudukan SMC dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan dan membuktikan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia serta meletakkan standard tertinggi dalam penjagaan dan keselamatan pesakit.

“Sebagai sebuah hospital swasta kuaternari terbesar di Malaysia, SMC telah menjalani penilaian prestasi sistematik JCI bagi menzahirkan komitmennya dalam memastikan keselamatan pesakit dan kualiti penjagaan kesihatan.

“Proses penilaian yang komprehensif melibatkan semakan menyeluruh terhadap dasar, prosedur dan amalan SMC dalam memastikan pematuhan kepada piawaian ketat JCI termasuk penilaian penjagaan pesakit, pengurusan ubat, kawalan jangkitan, hak pesakit dan keluarga, kelayakan dan pendidikan petugas serta pengurusan dan keselamatan kemudahan,” menurut kenyataan itu.

Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long menerusi kenyataan itu berkata kejayaan mendapat akreditasi JCI itu membuktikan bahawa SMC meletakkan standard tertinggi dalam keselamatan pesakit dan berusaha memenuhi keperluan penjagaan kesihatan dalam komuniti dengan menyediakan penjagaan dan perkhidmatan berkualiti tinggi. 

“Kami ingin menyediakan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada pesakit kami serta keluarga mereka sepanjang keberadaan di sini. Pengiktirafan daripada JCI ini amat penting bagi kami seiring dengan ulang tahun ke-25 SMC pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan ketika merasmikan majlis penganugerahan itu berkata Akreditasi JCI itu meletakkan SMC sebagai pemain utama dalam mencapai objektif penjagaan kesihatan Malaysia.

"Dengan menetapkan penanda aras dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan, ia turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehcapaian dan piawaian penjagaan kesihatan, sejajar dengan matlamat utuh yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan Malaysia.

“Rakan strategik Kementerian Kesihatan boleh bergantung kepada sektor swasta seperti Sunway untuk mempromosikan pencegahan dalam penjagaan kesihatan, intervensi awal dan pendidikan kesihatan sekali gus memupuk masa depan yang lebih sihat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan sama.

Naib Presiden JCI Andrew Rosen pula memuji SMC atas komitmen untuk menjadi organisasi penambahbaikan kualiti dan mencapai Gold Seal of Approval JCI, meletakkan pusat perubatan itu sebaris dengan organisasi penjagaan kesihatan elit lain di seluruh dunia yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang penjagaan pesakit, rawatan dan keselamatan.

JCI merupakan divisyen daripada Suruhanjaya Bersama yang diasaskan pada 1997 melalui gabungan tidak berasaskan keuntungan, Joint Commission Resources (JCR), yang khusus untuk memupuk kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan, serta menyokong kualiti tertinggi dan penjagaan pesakit di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan