AM > BERITA

Suara Anak Muda Terhadap ESG Penting Capai Masa Depan Lestari

09/08/2024 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Suara anak muda terhadap inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) penting bagi mencapai masa depan lestari, selamat serta bumi yang sihat untuk diduduki oleh generasi akan datang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata sehubungan dengan itu, pendedahan awal seperti di institut pengajian tinggi (IPT) perlu diberikan kepada golongan berkenaan supaya mereka dapat menerapkan pengalaman berkenaan semasa alam pekerjaan nanti. 

“ … walaupun ESG banyak diamalkan oleh rakan-rakan industri, namun ia juga harus dihayati dan dijiwai oleh anak-anak muda. Kerana itulah kita ingin memastikan suara anak muda sentiasa berkumandang dalam soal-soal kelestarian alam sekitar dan ESG juga merupakan satu inisiatif yang penting.

“Anak-anak muda ini selepas menamatkan pengajian, mereka akan bekerja dengan industri, jadi adalah lebih baik sekiranya pendedahan dan pengalaman ESG itu dapat dikutip ketika mereka masih lagi dalam pengajian di kampus.

“Jadi, ini satu pendedahan awal kerana apabila mereka ke bidang pekerjaan bersama-sama industri, mereka sudah ada satu pemikiran jelas yang akhirnya dapat memberikan sumbangan lebih bermakna kepada industri dan negara,” katanya dalam program Ruang Bicara anjuran Bernama TV dengan topik "Suara Anak Muda ASEAN Dalam ESG" malam ini.

Justeru, Mohd Izani berkata UMT mengambil langkah untuk menganjurkan ESG Global Young Leader Summit 2024 buat julung kalinya pada 22 hingga 25 Ogos ini yang akan menghimpunkan lebih 150 pelajar dan pemimpin pelajar dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata dalam program itu, peserta akan duduk berbincang dan membawa resolusi kepada kerajaan tentang cara suara anak muda itu boleh membantu kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan.

“Ini satu program yang sangat menarik kerana sebelum ini, UMT sering menghantar pelajar-pelajar kita bercakap rentas antarabangsa seperti di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan sebagainya, tetapi ia melibatkan jumlah pelajar yang sangat kecil.

“Jadi, sudah tiba masanya kita menjadi tuan rumah kepada perkampungan anak-anak muda untuk bercakap soal kelestarian, alam sekitar dan kita juga membuka ruang kepada pelajar-pelajar antarabangsa termasuk pelajar di ASEAN (untuk hadir ke program ini),” katanya.

Bercakap dalam program sama ialah pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) UMT Muhammad Afif Darwish Mohd Sawal yang turut berpandangan pendedahan awal kepada golongan anak muda mengenai ESG dapat memberi pemahaman kepada mereka mengenai bidang berkenaan sebelum memasuki industri.

“Apabila pendedahan diberikan lebih awal kepada belia atau anak muda tentang ESG sebelum memasuki industri, mereka lebih faham dan menerapkan nilai lebih tinggi untuk kemajuan sesuatu syarikat dan juga kemajuan anak muda akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan