AM > BERITA

Zulkefli Jais Bakal Wakili Malaysia Di Gwangju Biennale 2024

10/08/2024 11:57 AM

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Pemenang anugerah utama Bakat Muda Sezaman 2023 (BMS23) Zulkefli Jais bakal mewakili Malaysia di Gwangju Biennale 2024 di Gwangju, Korea Selatan dari 7 Sept hingga 1 Dis.

Balai Seni Lukis Negara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan beliau akan mempamerkan karyanya Project Temporary Marking

"Project Temporary Marking menggabungkan geografi dan psikologi untuk menawarkan perspektif baharu tentang geopolitik, meneroka kenangan dan pengalaman hidup. 

"Karya seni itu bermula di Teluk Intan, Perak, sebuah bandar penting kepada artis ini kerana di sini tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan.Teluk Intan yang sebelum ini dikenali sebagai Teluk Anson sememangnya terkenal dengan menara condong yang melambangkan sejarah bandar itu.

"Projeknya meneroka bagaimana bangunan bersejarah dan geografi bandar itu membentuk identiti serta menumpukan kepada tema trauma dan kehilangan," menurut kenyataan itu.

Karya seni itu turut disertakan dengan sebuah dokumentari pendek berdurasi 6 minit dan 2 saat yang akan ditayangkan sepanjang pameran itu.

Pemilihan Zulkefli sebagai wakil di Gwangju Biennale 2024 melambangkan pencapaian penting penggiat seni baharu di Malaysia yang mengintai pengiktirafan global.

Penyertaan beliau di peringkat antarabangsa memperlihatkan komitmen Balai Seni Lukis Negara untuk memupuk bakat di negara dan mempromosikan kehadiran galeri itu di arena antarabangsa.

“Selain itu, sokongan kami kepada artis tempatan melalui inisiatif seperti BMS menunjukkan usaha berterusan memajukan komuniti seni Malaysia selain memberi peluang kepada artis untuk berkembang maju di pentas dunia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan