AM > BERITA

Memaknai Jati Diri Generasi Muda Selepas 67 Tahun Merdeka

10/08/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Setiap tahun, bulan Ogos mempunyai makna yang signifikan kepada penduduk Malaysia, yang menyambut 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan.

Pada tahun ini, sambutan diteruskan dengan lebih meriah seiring dengan negara yang semakin maju dalam era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata agenda pemupukan patriotisme dan jati diri dalam kalangan belia, serta usaha untuk memastikan pembangunan modal insan yang berdaya tahan, perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan melibatkan semua agensi pelaksana dan pemegang taruh.

“Justeru, cabaran baharu dalam memaknai kemerdekaan adalah usaha untuk membangunkan kompetensi belia dengan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling) dan memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling).

"Selain itu, perlu ada usaha untuk menyilangkan kemahiran tenaga buruh sedia ada (cross-skilling) bagi membolehkan mereka melaksanakan pelbagai tugas (multi-skilling) selaras dengan keperluan semasa dalam menghadapi suasana ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.

Menurutnya, dalam memaknai kemerdekaan melalui pemerkasaan modal insan belia, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM6.8 bilion untuk pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada tahun hadapan.

Selain itu, beliau berkata RM100 juta diperuntukkan untuk menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET serta sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.

Mohd Mursyid berkata pada masa sama  penglibatan generasi muda dalam sektor pekerjaan diperkasakan melalui lantikan MySTEP, yang  menawarkan program peningkatan kemahiran di bawah platform MyFutureJobs.

“Pemerkasaan generasi muda tidak terhenti hanya dengan latihan, inisiatif MyFutureJobs juga akan membuat padanan pekerjaan untuk mereka, membina kerjaya masa depan, dan meraih pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut berkata bagi memastikan agenda memulih, membina, dan memangkin semula tenaga buruh muda tempatan yang berdaya tahan dalam era endemik ini, program latihan dan peningkatan kemahiran seperti melalui HRD Corp, Skim Latihan Dual Nasional, serta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Gig dan Program Jamin Kerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya peluang pekerjaan yang berpotensi untuk dikembangkan khusus kepada golongan belia adalah peluang pekerjaan yang berorentasikan pendigitalan yang membolehkan belia tidak hanya bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan sendiri.

“Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig merupakan peluang besar dalam suasana pendigitalan hari ini. Usaha untuk menjenamakan semula sektor 3D (dirty, dangerous, dan difficult) perlu dipergiat secara berterusan dengan menawarkan gaji yang setimpal bagi menarik minat tenaga buruh tempatan yang sebelum ini banyak didominasi oleh buruh asing.

"Maka, pendekatan pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi perlu diubah kepada berorientasikan kajian kes dan pembelajaran berasaskan masalah dengan membawa cabaran semasa ke dalam kuliah,” katanya.

Selain itu, Mohd Mursyid berkata penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian juga penting untuk memastikan keterjaminan makanan negara dan membuka peluang untuk menjana pendapatan.

“Sebagai contoh, inisiatif Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA) oleh UPM menyediakan peluang kepada generasi muda untuk menceburi sektor pertanian termasuk latihan, kursus kemahiran teknologi pertanian moden, dan bimbingan pemasaran produk pertanian, seperti yang digariskan dalam Blueprint Keterjaminan yang baru dilancarkan."

“Penglibatan generasi muda dalam sektor pertanian akan membentuk identiti yang lebih berdaya tahan, berkemahiran dan berminda keusahawanan,” katanya.

Untuk menyemarakkan golongan belia menyumbang kepada negara, Mohd Mursyid mengesyorkan agar sokongan luaran dipertingkatkan dengan menggalakkan lebih banyak syarikat korporat menyediakan latihan, pengalaman, dan peluang pekerjaan kepada belia dan graduan.

Pada masa sama, usaha merancakkan peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri perlu dilakukan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan industri pada masa kini.

Dalam pada itu, Mohd Mursyid berkata pengukuhan identiti belia Malaysia juga penting dalam memaknai kemerdekaan. Belia perlu memiliki budaya integriti yang tinggi kerana nilai integriti dapat menonjolkan ciri-ciri peribadi unggul seperti kejujuran dan amanah.

Katanya penghayatan dan amalan integriti yang tinggi juga membolehkan golongan belia menjauhkan diri daripada sikap memfitnah, mengeluarkan kata-kata kesat, perbuatan tidak beradab, kemuflisan, berbohong, mungkir janji, pecah amanah, menyeleweng dan menerima rasuah dalam setiap tindakan mereka.

“Golongan belia perlu membina jati diri untuk menjaga adab dan tatasusila serta menghindari sikap tamak dan mahu cepat kaya, yang boleh menyebabkan gejala rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan terus berleluasa. Negara memerlukan tenaga pakar dan mahir dalam kalangan belia untuk bekerja dengan penuh integriti,” katanya.

Justeru, katanya usaha bersepadu untuk melahirkan belia yang lebih berdaya tahan dapat membantu generasi muda mendukung jati diri untuk menyumbang kepada negara. Ini juga akan memacu pembinaan negara bangsa dalam fasa endemik dan menanamkan semangat sayangkan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan