AM > BERITA

RISDA Fokus Pembangunan, Lebih 82,000 Pekebun Kecil Getah Terima Bantuan

10/08/2024 12:50 PM

GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerusi pelbagai inisiatif memberi fokus membangunkan 82,882 pekebun kecil getah di Kelantan yang layak menerima bantuan meliputi kawasan seluas 178,275 hektar tanaman getah di 11 jajahan di negeri itu.

Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata usaha membangunkan pekebun kecil getah di negeri itu dijalankan di bawah Program Tanam Semula Getah agensi ini bagi memperkasakan lonjakan transformasi sektor pertanian.

“Khusus di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri, Gua Musang, 2,071 pekebun kecil bagi penanaman getah di bawah seliaan RISDA meliputi kawasan seluas 5,985.76 hektar.

“Program ini melibatkan 40 kampung, mencerminkan sektor penanaman getah sebagai sumber ekonomi penting bagi penduduk di kawasan ini,” katanya kepada Bernama selepas Program Lawatan Kerja Pengerusi RISDA ke Gua Musang semalam.

Sempena program itu, beliau turut menyantuni pekebun kecil serta usahawan antaranya di Kebun Tanam Semula Individu di Kampung Dalam Jelekang, Bertam Agro, Projek Agromakanan Internet Benda (IoT) 2023 di Bertam Lama dan Bengkel Pembungkusan Minyak Masak Cap Cincin di Bandar Baru Gua Musang Projek AET (Groom Big).

Manndzri berkata daripada peruntukan sebanyak RM676 juta tahun ini bagi tujuan pembangunan pekebun kecil getah di seluruh negara oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sejumlah RM87.71 juta diperuntukkan untuk Pelan Pembangunan RISDA Kelantan 2024.

“Peruntukan ini (di Kelantan) merangkumi lima inisiatif utama iaitu Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil yang menerima peruntukan terbesar sebanyak RM45.51 juta termasuk aktiviti tanam semula dan bantuan angkutan pedalaman.

“Peruntukan ini juga melibatkan inisiatif Peningkatan Produktiviti Getah (PROGET) sebanyak RM4 juta, diikuti Peningkatan Produktiviti Lateks (PROTEKS) dengan nilai RM160,000 dan Pembangunan Semula Hasil Baharu dengan nilai RM3.56 juta,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah peruntukan itu juga sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan untuk Program Rawatan dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP).

Mengenai fokus bantuan di Gua Musang dan DUN Nenggiri, beliau berkata setakat suku kedua tahun ini, RISDA Jajahan Gua Musang memperuntukkan sebanyak RM3.3 juta untuk disalurkan bagi dimanfaatkan kepada 6,985 pekebun kecil.

Manndzri berkata bagi DUN Nenggiri, sebanyak RM1.89 juta telah dimanfaatkan 314 pekebun kecil setakat ini menerusi program tanam semula getah, khidmat pengembangan, produktiviti pemasaran serta pembangunan usahawan.

“Sebanyak RM1.62 juta disalurkan melalui program pembangunan penanaman getah di kawasan kebun getah seluas 595.57 hektar melibatkan 296 pekebun kecil.

“Sebanyak RM115,420 disalurkan untuk aktiviti pencegahan bagi LDP serta RM69,860 bagi tujuan khidmat nasihat dan tunjuk ajar dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kebun getah oleh pekebun kecil melalui program khidmat pengembangan,” katanya.

Manndzri berkata program pembangunan usahawan di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Agromakanan menerima peruntukan sebanyak RM267,250 melibatkan 18 pekebun kecil sebagai penerima manfaat.

Sementara itu, seorang pekebun kecil di Kampung Jelekang, Bertam, Nenggiri, Zawiyah Jusoh, 71, berkata beliau mengusahakan tanah getah seluas 2.4 hektar sejak 33 tahun lepas telah menerima manfaat daripada inisiatif dilaksanakan RISDA.

“Saya bersyukur kerana RISDA banyak membantu dan membolehkan saya menjana pendapatan harian di tanah tinggalan arwah suami untuk membesarkan enam anak melalui  Program Tanam Semula agensi ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan