AM > BERITA

Speaker Dewan Rakyat Teruskan Lawatan Kerja Ke DUN Zon Timur

10/08/2024 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan meneruskan lawatan kerjanya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok hingga 13 Ogos ini.

Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja itu adalah kesinambungan lawatan Johari ke DUN  zon selatan pada 23 hingga 25 Julai dan DUN zon utara pada 5 hingga 8 Ogos lepas.

Lawatan kerja ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini akan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 11 Ogos. Selepas itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengadakan lawatan kerja ke DUN Terengganu (12 Ogos) dan Dewan Negeri Pahang (13 Ogos).

Kenyataan itu juga memaklumkan Yang Dipertua Rakyat berkenaan akan melakukan lawatan kerja ke DUN Selangor pada 15 Ogos.

“Sepanjang lawatan kerja  Yang Dipertua Dewan Rakyat ini, antara tunjang perbincangan beliau adalah merakyatkan institusi legislatif, pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan legislatif serta inisiatif melahirkan kepimpinan generasi baharu yang cakna akan ilmu ketatanegaraan dan pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan