AM > BERITA

PRK Nenggiri: Orang Asli Mahu Wakil Rakyat Perjuang Hak, Bawa Suara Komuniti

10/08/2024 03:03 PM

Oleh Siti Maisarah Ahmad

GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli di kawasan Nenggiri mahukan wakil rakyat yang boleh bekerja, menyuarakan dan memperjuangkan hak komuniti di kawasan itu.

Jaafar Along, 56, berkata siapa pun wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri ini, yang penting individu itu mempunyai pengalaman dan bersungguh-sungguh membantu rakyat.

“Wakil rakyat tua atau muda mungkin ada kekurangannya tapi kami mahukan kelebihannya dari segi pengalaman untuk berbakti kepada komuniti,” kata Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Jader, Pos Simpor itu kepada Bernama baru-baru ini.

Jaafar berkata usia calon yang bertanding bukan penentu pada hari mengundi 17 Ogos ini.

Sementara itu, Orang Asli suku kaum Mendriq dari Kuala Lah Misbun Mohd Zamri, 22, berkata antara kriteria wakil rakyat yang dicari komuniti ini mestilah seorang yang rajin turun padang ke kawasan Orang Asli. 

“Kami inginkan perubahan daripada wakil rakyat terdahulu yang tidak datang ke kawasan kampung mungkin kerana faktor usia, kekurangan masa serta tenaga. 

“Jadi saya fikir tiada salahnya calon muda diberi peluang menggalas jawatan wakil rakyat kerana orang muda lebih mudah faham keperluan kami. Wakil rakyat yang dipilih mungkin dapat memikirkan alternatif berbeza untuk membantu Orang Asli kerana idea orang muda lebih segar,” katanya. 

Selain itu, Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Simpor,  Mohd Syafiq Dendi Abdullah, 36, berharap PRK ini akan menjadi titik tolak untuk masyarakat Orang Asli menikmati kehidupan lebih baik walaupun berada di kawasan pedalaman. 

“Harapan saya semoga PRK ini dapat mengangkat wakil rakyat yang boleh mewakili dan menyuarakan hak masyarakat kawasan Nenggiri terutama dari segi pembangunan yang ketinggalan jauh berbanding kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain.

“Semoga kami dapat memilih wakil rakyat yang sentiasa cakna denyut nadi rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan