AM > BERITA

Bimbingan Jana Visual Guna AI Antara Tarikan PMR Zon Selatan

10/08/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Bimbingan serta kursus mengenai penghasilan tesis dan penjanaan visual lebih kreatif menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) antara tarikan Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru. pada 15 hingga 17 Ogos ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi Datuk Dr Yatimah Sarjiman berkata menerusi program Pocketalk: AI, Everyone Can Do itu, orang ramai khususnya pelajar boleh mendapatkan ilmu baharu berkaitan AI yang menjadi keperluan penting dalam era digital ketika ini.  

“Selain itu, kita juga akan ajar cara buat kandungan (content) dan penghasilan visual tanpa guna kamera hanya menggunakan AI,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia semasa segmen Program MADANI Rakyat Zon Selatan: Setahun Ekonomi MADANI di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. 

Beliau berkata program berkenaan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Ekonomi dan PUSPANITA Johor.

Yatimah berkata Kementerian Ekonomi selaku kementerian peneraju untuk PMR Zon Selatan turut mengadakan sesi townhall bertajuk Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang dijadual diadakan di Pentas Utama, Dataran UTM  pada 17 Ogos bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib pula akan mengadakan slot Jaguh Bumi: Edisi Khas di Pentas Utama, Dataran UTM pada 16 Ogos bermula 4 petang yang bakal membicarakan lebih jelas mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara khususnya Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Beliau berkata Kementerian Ekonomi membuat sedikit pembaharuan kali ini menerusi reruainya dengan memberi fokus kepada peningkatan sosioekonomi rakyat seperti pendaftaran Insiatif Pendaftaran Rakyat (IPR), penerangan, konsultasi dan pendaftararan Yayasan Peneraju.

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan konsultasi dan penerangan mengenai skim pembiayaan dan pemudah cara TERAJU serta konsultasi program pembangunan kontrakor serta pembekal khidmat tempatan  berkemahiran untuk industri hiliran minyak, gas dan petrokimia dan kimia. 

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

Program itu akan menumpukan kepada pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri sejak setahun dilancarkan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan