AM > BERITA

Wartawan Ada Hak Melindungi Kerahsiaan Sumber - Fahmi

10/08/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Wartawan mempunyai hak untuk melindungi kerahsiaan sumber berdasarkan kod etika kewartawanan yang diamalkan di negara ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Namun, beliau menjelaskan bahawa tindakan pihak polis yang memanggil dan merakam percakapan wartawan bukanlah bertentangan dengan hak tersebut, memandangkan polis menjalankan tugas setelah laporan polis mengenai sesuatu itu berita dibuat.

“Saya tegaskan wartawan ada hak untuk buat laporan tetapi berdasarkan undang-undang pihak polis juga berhak untuk menyiasat. Ia bukan satu perkara yang kontradiksi (bertentangan).

“Kalau kita membuat laporan (berita) dan anda berpegang teguh pada laporan serta sumber anda, dan bila ditanya, maka jawablah. Tidak menjadi isu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Fahmi mengulas mengenai tiga wartawan portal berita Malaysiakini yang dipanggil polis semalam untuk memberi keterangan berhubung laporan berita mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi pasukan PDRM.

Selasa lepas, portal dalam talian tersebut menerbitkan artikel melaporkan beberapa pegawai kanan PDRM termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan ditukarkan ke agensi lain.

Ditanya sama ada kejadian yang melibatkan Malaysiakini itu akan menjejaskan kedudukan media Malaysia dalam Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Fahmi berkata kedudukan itu bukan semata-mata berdasarkan prestasi sesebuah negara itu tetapi ia berdasarkan prestasi relatif berbanding negara-negara lain yang dalam perkiraan RSF.

“Pihak RSF ada memaklumkan kepada saya bahawa sejujurnya ada dalam kalangan mereka yang tidak setuju dengan ranking itu sebab kalau kita berada pada paras yang sama dari segi metrik tapi sekiranya ada negara-negara lain yang telah menunjukkan kemajuan, kita corot dalam ranking.

“Jadi, ranking tersebut tidak benar-benar mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini, sebaliknya ia mencerminkan keseluruhan keadaan di seluruh dunia. Jadi, jika anda tetap di satu tempat tetapi negara lain meningkat, ia akan kelihatan seolah-olah anda mengalami penurunan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata platform media sosial dilihat tidak serius dalam menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun mendaftar serta memiliki akaun media sosial sendiri.

Beliau berkata ketika ini, platform media sosial hanya menetapkan garis panduan mengenai tidak membenarkan golongan itu untuk mendaftar akaun sendiri.

“Mungkin perlu ada beberapa perkara tegas untuk halang kanak-kanak bawah 13 tahun untuk mendaftar. Kadang-kadang, kanak-kanak akan buat apa sahaja untuk memiliki akaun media sosial,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya golongan ibu bapa untuk mengawasi tindakan anak-anak mereka yang bawah umur tidak memiliki akaun media sosial sendiri bagi mengelakkan pelbagai perkara tidak diingini berlaku terutamanya berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa mengawasi anak-anak mereka yang masih bawah umur supaya tidak memiliki akaun media sosial sendiri. Ini bertujuan mengelakkan pelbagai perkara tidak diingini, terutamanya yang berkaitan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan