AM > BERITA

30 Motosikal Berkuasa Tinggi Jayakan Konvoi Kmjg 2024 Wilayah Persekutuan

10/08/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 44 kenderaan merangkumi 30 motosikal berkuasa tinggi dan 14 kereta melibatkan 75 peserta berkonvoi bagi menyemarakkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP).

Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang juga ketua konvoi WPKLP Sabarudin Yeop Hamza berkata peserta berkenaan akan berkonvoi ke beberapa destinasi di ibu negara mulai hari ini dan berakhir esok di Putrajaya.

"Sepanjang dua hari (10 dan 11 Ogos) ini kita ada beberapa lokasi. Hari ini lokasi pertama di Lembah Pantai disambut oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil," katanya kepada Bernama di pekarangan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata esok konvoi akan bergerak dari Wisma FGV di sini sebelum ke Pasar Wirawati, Taman Maluri, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Dataran Putra, Putrajaya.

Majlis yang diadakan di Pusat Komuniti Lembah Pantai di sini dirasmikan oleh Fahmi yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Penerangan Julina Johan.

Terdahulu, Sabarudin menyambut ketibaan konvoi KMJG Selangor yang telah menamatkan konvoi di negeri berkenaan selepas menjelajah tiga lokasi di negeri itu, menerima baton jelajah daripada Pengarah Jabatan Penerangan Selangor  Normaizatulakmal Tujad sebelum menyerahkan kepada Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

 Sementara itu, seorang peserta konvoi yang juga pengasas kelab Suzuki VStrom Owner's Club Malaysia (SVOCM) Mohamad Zaidi Yahaya, 64, atau lebih dikenali sebagai Tokyah berkata kira-kira 110 motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki Vstrom digunakan sepanjang KMJG 2024 ini.

"Kami menggerakkan ahli kelab ini kepada semua negeri yang menjalankan kembara ini dari negeri di utara ke selatan di Semenanjung dan ini juga kali pertama kami sertai kembara ini," katanya.

Bekas jurutera yang kini ahli perniagaan itu berkata kelab berkenaan mempunyai 400 ahli dan ditubuhkan pada 2020 untuk menyatukan rakan-rakannya daripada pelbagai kaum dan agama yang mempunyai minat sama bagi melakukan kerja amal.

"Kita ride sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk perkara yang berfaedah sama ada amal atau sokongan," katanya.

Ahli termuda Athern Aloysius, 30, pula berpendapat golongan muda di negara ini perlu menyertai kelab berfaedah dan tidak membuang masa dengan kegiatan tidak bermanfaat seperti perlumbaan haram.

"Saya sangat menyukai kelab ini kerana mereka tidak memandang kepada warna kulit, agama mahupun kaum dan ia ruang yang baik buat generasi muda untuk meneruskan minat dalam permotoran untuk tujuan yang baik," katanya.

Sementara itu, pemenang tempat kedua pertandingan pakaian patriotik yang diadakan sempena program itu, Nur Dhia Alieesya Zaidi,10, berkata pengorbanan bangun seawal 4 pagi bagi memperagakan pakaian unik rekaan ibunya ternyata tidak sia-sia.

"Hilang rasa letih dan penat bangun awal pagi ini untuk bersiap bila dapat hadiah nombor dua. Tahun depan kalau ada lagi acara sama, saya nak sertai lagi," katanya yang memperagakan gaun labuh dihiasi 14 bendera yang mewakili 14 negeri di Malaysia. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan