AM > BERITA

Jenazah Noradriana Dikebumi Di Sebelah Pusara Ibu

10/08/2024 05:54 PM

MUAR, 10 Ogos (Bernama) -- Jenazah kanak-kanak perempuan yang maut dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini semalam selamat dikebumikan di sebelah pusara ibunya di sini hari ini.

Bapanya Nor Hasyim Mohd Taher, 43, mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang membantu setiap urusan sehingga proses pengebumian Noradriana,11, selesai.

Dia berkata anaknya dikebumikan di sebelah pusara isterinya Allahyarham Nurul Armizah Mohamed Nor yang meninggal dunia empat tahun lepas akibat kanser.

“Untuk tuntutan jenazah ibu dan bapa mentua saya yang turut terkorban dalam kebakaran itu hanya dibenarkan selepas selesai ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Kemungkinan jenazah mereka (Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76) boleh dituntut hari ini selepas sampel darah diambil daripada ahli keluarga terdekat,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan. 

Terdahulu, jenazah Noradriana disolatkan di Masjid Jamek Kampung Paya Redan pada 9.58 pagi. 

Berhubung keputusan bedah siasat yang diperoleh selepas membuat proses pengecaman di Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini semalam, Nor Hasyim berkata punca kematian anaknya itu dipercayai akibat hentakan pada bahagian kepala. 

"Kita masih tidak tahu punca sebenar, kesan kebakaran dekat dia tidak teruk sangat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas, Mohamed Nor dan Ara bersama cucu perempuan Noradriana maut dalam kebakaran itu, manakala seorang lagi mangsa Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di HPSF.

Semalam, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz dilapor berkata polis sedang mengesan saksi utama dikenali Azman Mohamed, 48, yang juga anak kepada warga emas itu dan dikatakan tinggal bersama mangsa serta dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan