AM > BERITA

Peningkatan Liputan Internet Beri Kelegaan Kepada Penduduk Nenggiri

10/08/2024 09:10 PM

Oleh Rosmalis Anuar

GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Walaupun lebih daripada tiga suku kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini, diliputi hutan dan kawasan berbukit bukau, namun liputan Internet jalur lebar mudah alih dan tetap berkelajuan laju, dapat diakses secara meluas di kebanyakan kawasan berpendudukan padat, di sini.

Tinjauan Bernama mendapati antara kawasan ramai penduduk seperti di Bertam Baru, Bertam Lama, Limau Kasturi dan Felda Perasu, di DUN ini tidak mempunyai masalah untuk mendapat akses Internet melalui telefon bergantung kepada langganan syarikat telekomunikasi masing-masing.

Malah ketika melawat perkampungan komuniti Orang Asli di Kampung Kuala Lah di sini, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Gua Musang, beberapa rumah di sini, turut memperoleh akses Internet daripada pakej jalur lebar tetap.

Antara yang mendapat faedah daripada infrastruktur gentian optik itu termasuk Tok Batin kampung berkenaan, Ali Lateh.

Menurutnya selain rumahnya, beberapa rumah penduduk di situ juga melanggan pakej Internet jalur lebar tetap yang telah tersedia sekurang-kurangnya lebih lima tahun lepas.

“Di rumah saya sendiri sudah empat ke lima tahun, Internet tanpa wayar dipasang. Dari segi isyarat telefon, tiada masalah untuk akses Internet, cuma bergantung kepada cuaca. Pencawang pun tak jauh dari perkampungan ini, lebih kurang dua kilometer sahaja,” katanya kepada Bernama.

DUN berkenaan kini sedang berhadapan pilihan raya kecil (PRK) yang menyaksikan seramai 20,259 pemilih berdaftar akan mengundi pada 17 Ogos ini.

Nenggiri yang terletak kira-kira 20 km dari bandar Gua Musang dan 175 km dari Kota Bharu, berkeluasan 235,300 hektar dengan 151,065 atau 70 peratus daripadanya adalah kawasan hutan.

Selain beberapa perkampungan di sepanjang jalan Gua Musang-Jeli dan Gua Musang-Kuala Krai itu yang didiami penduduk Nenggiri, masih ramai yang menetap di kawasan tanah tinggi dan pedalaman, termasuk masyarakat Orang Asli.

Selain Kampung Komuniti Kuala Lah, masyarakat Orang Asli yang berjumlah keseluruhan 2,759 orang mendiami lima pos di kawasan pedalaman Nenggiri.

Bernama yang turut membuat tinjauan di penempatan Orang Asli di sini, antaranya di Pos Pulat yang terletak kira-kira sejam 30 minit dari bandar Gua Musang dan perlu mendaki kira-kira 30 kilometer jalan balak, mendapati menara telekomunikasi masih tersedia berhampiran kawasan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Liman Ahong berkata akses kepada Internet bagi 353 penduduk di penempatan itu sememangnya ada, namun ia tidak stabil dan menjadi antara masalah penduduk yang diharap dapat diselesaikan wakil rakyat.

Seorang penduduk, Rasyidi Seli, 30, turut bersetuju dan berharap agar liputan Internet yang lebih stabil dapat disediaka kerana setiap kali gangguan liputan berlaku, penduduk di perkampungan itu terpaksa menunggu sehingga kerja-kerja pembaikan selesai atau pergi ke kawasan lain untuk mendapatkan liputan.

"Paling dekat di kawasan pembinaan empangan (Projek Hidroelektrik Nenggiri) yang ada liputan penuh. Itu pun dalam setengah jam perjalanan dari kampung ini," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah PRK Barisan Nasional (BN) DUN Nenggiri Mohd Syahbuddin Hashim, pernah membangkitkan masalah telekomunikasi ini dalam persidangan DUN Kelantan.

Ahli DUN Galas itu berkata beberapa kawasan di Gua Musang, khususnya Pos Orang Asli dalam DUN Nenggiri, masih bergantung pada perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit yang dikenali sebagai Broadband Wireless Access (BWA).

Bagaimanapun, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan untuk memperluaskan liputan telekomunikasi di Gua Musang, walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

"Gua Musang ini bergunung-ganang dan ada gua-gua yang menghalang liputan daripada sampai secara terus, oleh itu kita memerlukan khidmat MCMC untukj menyesuaikan kedudukan menara dan rangkaian jalur lebar mengikut topografi Gua Musang," katanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail daripada Perikatan Nasional.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan