AM > BERITA

Sarawak Peruntuk RM25 Juta Untuk Usahawan Wanita Kembang Perniagaan

10/08/2024 06:45 PM

SIBU, 10 Ogos (Bernama) -- Sarawak akan memperuntukkan RM25 juta untuk membantu usahawan wanita yang telah berjaya di negeri itu mengembangkan lagi perniagaan mereka hingga ke peringkat global.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan itu kelak akan didepositkan ke Affin Bank dan kemudiannya diagihkan kepada usahawan wanita yang memohon pinjaman bagi pengembangan perniagaan mereka.

“Dana itu bertujuan membantu mereka yang ingin mengembangkan perniagaan atau aktiviti ekonomi mereka. Saya berpendapat dengan inisiatif, pendekatan dan inovasi yang ada, mereka ini boleh berjaya,” katanya. 

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 di sini hari ini.

Sambutan tersebut yang bertemakan Wanita Sarawak dalam Inovasi dan Teknologi itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Sebelum itu, Abang Johari melancarkan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB), inisiatif baharu di bawah kementerian itu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bagi menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai dengan had maksimum RM500 setahun untuk seorang warga emas.

Kelayakan bagi inisiatif itu adalah warganegara Malaysia yang merupakan pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’ berumur 60 tahun ke atas, berpendapatan isi rumah RM7,000 dan ke bawah sebulan dan tidak mendapat pembiayaan/perlindungan rawatan pesakit luar daripada mana-mana agensi lain.

Kemudahan ini disediakan di 168 klinik perubatan swasta, 77 klinik pergigian serta 13 hospital dan pusat perubatan swasta yang dilantik oleh JKMS dan beroperasi di Sarawak.

Sebanyak 100,000 penerima SCHB akan menerima manfaat pada 2024 yang memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM50 juta, manakala pada tahun depan dianggarkan jumlah penerima SCHB meningkat kepada 200,000 orang.

Sementara itu, pada majlis sambutan tersebut Abang Johari turut menyampaikan anugerah khas kepada lima penerima iaitu Umang Nangku Jabu (Anugerah Premier Kepimpinan Wanita); Lim Hii Ching (Anugerah Premier Usahawan Wanita); Sultan Patimah Ismail (Anugerah Premier Penggiat Sosial Wanita); Prof Madya Dr Siti Kudnie Sahari (Anugerah Premier Pencapaian Khas); Destiny for Children Sibu (Anugerah Premier Pertubuhan Cemerlang) dan Hannah Toh Hong Na (Anugerah Premier Pemimpin Muda).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan