AM > BERITA

Jiwa Merdeka: Jangan Bacul Lapor Salah Laku Dan Rasuah

11/08/2024 11:57 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Saban tahun menjelang Hari Kebangsaan, kibaran Jalur Gemilang dan laungan merdeka pasti rancak memeriahkan suasana, namun semangat patriotik ini sebenarnya bukan hanya menuntut kemeriahan semata-mata, tapi juga meruntun rakyat untuk terus bersama dengan kerajaan mengorak langkah membanteras rasuah dan salah guna kuasa di bumi bertuah ini.

Pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membanteras gejala keji ini terserlah dengan ketara apabila beliau sering dilihat berulang kali menegaskan betapa peri pentingnya usaha menentang pihak yang mencuri atau merompak kekayaan negara, tanpa mengira pangkat dan peringkat umur. 

Sehubungan itu Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguakuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar mengajak seluruh rakyat Malaysia tidak kira di sektor awam atau swasta menjiwai makna merdeka sempena Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini dengan berani, menentang amalan salah laku dan rasuah demi menjulang martabat bangsa dan negara.

Beliau berkata hasrat kerajaan ialah supaya penjawat awam mempunyai integriti tinggi bagi memastikan tiada lagi ketirisan dalam pengurusan kewangan kerajaan, sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Tiada lagi ketidakadilan dalam penyampaian perkhidmatan awam, tiada lagi pilih kasih. Inilah semangat jiwa merdeka dari sudut integriti. Maknanya kalau jiwa merdeka, kita bebas untuk mendapatkan perkhidmatan daripada kerajaan dengan adil dan saksama,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Ismail berkata sekiranya proses sistem penyampaian perkhidmatan awam itu telus, maka peruntukan yang diberikan kerajaan itu akan digunakan sepenuhnya untuk projek, dan tidak berlaku ketirisan sekali gus rakyat mendapat manfaat sepenuhnya daripada peruntukan itu.

“Projek kerajaan dibiayai rakyat, kalau berlaku kebocoran, ketirisan, maka rakyat terpaksa membayar balik dan jangka hayat projek itu semakin singkat dan kualiti menjadi rendah. Akhirnya projek itu memerlukan kos tambahan untuk diselenggara. Tiada dana sebab ketirisan jadi kerajaan terpaksa berhutang, naikkan cukai. Jadi isu rasuah dan integriti itu perlu dilihat dalam spektrum yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata kehilangan hasil negara yang besar boleh berlaku disebabkan kecuaian di agensi kerajaan seperti di pelabuhan dan pintu masuk negara serta berlakunya elemen memberi perlindungan kepada aktiviti haram, underground ekonomi.

“Oleh itu sempena tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Malaysia MADANI - Jiwa Merdeka’, EAIC merayu kepada semua agensi kerajaan yang ada kuasa supaya dapat bermuhasabah. Kita renung balik sama ada perkara yang kita buat selama ini betul atau tidak.

“..terutama agensi ada kuasa untuk bertindak tetapi tidak melakukannya, sebaliknya melindungi kegiatan yang merosakkan masyarakat dan negara dari sudut kehilangan peluang mendapatkan hasil, dengan melindungi aktiviti haram,” katanya.

Beliau berkata usaha melawan rasuah dan salah laku adalah tanggungjawab semua, tidak kira ketua jabatan, ahli politik mahupun semua cabang kerajaan dari eksekutif (pentadbiran), legislatif (Parlimen) dan kehakiman, dalam memegang semangat berintegriti dan tidak melakukan rasuah.

 Ismail berkata usaha meningkatkan tahap integriti dalam kalangan penjawat awam bermula dari isu pelantikan dan sekiranya proses lantikan ke sesuatu jawatan dibuat dengan betul dan mengikut undang-undang, ia  akan memastikan elemen integriti diterapkan dengan lebih baik di peringkat perkhidmatan awam.

Selain itu beliau berkata peranan sekolah dalam memberikan pengetahuan dan pendedahan mengenai integriti perlu ditingkatkan dan didikan ibu bapa kepada anak-anak mengenai integriti, hormat menghormati, akhlak, moral, semuanya perlu dipupuk sejak awal lagi.

Ismail berkata untuk mencapai tahap menjadi negara dihormati, ia bukan sahaja dari segi kemajuan dan pembangunan ekonomi, tetapi ‘biar orang hormat pada kita disebabkan nilai integriti tinggi yang ada pada penjawat awam’ serta menjadi contoh kepada negara lain.

“Orang luar tengok Malaysia adalah pada kekuatan penjawat awam. Penjawat awam yang baik akan dilihat dari sudut pembangunan negara yang ada. Saya pasti, (jika) penjawat awam buruk, negara tak akan maju,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan