AM > BERITA

Program Kesedaran, Didikan Berterusan Elak Masyarakat Jadi Mangsa Penipuan

11/08/2024 12:13 PM

ALOR SETAR, 11 Ogos (Bernama) -- Masyarakat harus sentiasa dididik agar lebih peka terhadap pelbagai tipu helah dan taktik digunakan oleh penipu atau 'scammer' yang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

Seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi dan multimedia yang semakin pesat, program-program kesedaran dan didikan perlu diadakan secara berterusan bagi mengelak orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Menyedari hal itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menganjurkan program Inisiatif Memperkasa Komuniti Parlimen Kuala Kedah melalui Program Klik Dengan Bijak (KDB) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kuala Kedah yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan perlindungan di Internet.

Penghulu Mukim Kuala Kedah Salleh Mahmud berkata inisiatif itu merupakan satu langkah yang amat baik bagi mendidik masyarakat yang pada hari ini amat bergantung kepada media sosial dalam mendapatkan maklumat.

Beliau berkata keadaan itu mendedahkan mereka kepada ancaman  scammer.

"Kita faham, sekarang ini banyak penyalahgunaan Internet oleh pihak tertentu untuk menipu, tanpa mengira sesiapa, terutama kita di luar bandar ini.

"Jadi program sebegini amat baik dan berkesan kepada masyarakat untuk memahamkan mereka mengenai bahaya scammer ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program tersebut, di sini, semalam.

Bagi seorang pengunjung di program berkenaan Muhamad Syater Awang Kechik, 30, program anjuran MCMC itu dapat menyedarkan orang ramai mengenai tindakan yang harus diambil bagi mengelakkan daripada tertipu.

"Kebanyakan yang menjadi mangsa mungkin daripada mereka yang tidak mendapat pendedahan mengenai penipuan ini, jadi bagi mengelak ditipu, kena berhati-hati apabila terima apa-apa pautan atau panggilan telefon.

"Jadi apabila terima panggilan telefon atau pautan yang mencurigakan tidak perlulah dilayan, jika ada yang menjadi mangsa penipuan, segeralah buat laporan polis," katanya.

Pada program KDB itu, pelbagai agensi turut menyediakan kaunter untuk orang ramai mendapatkan maklumat berkenaan produk dan perkhidmatan tertentu yang ditawarkan.

Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Telekom Malaysia (TM) dan Pos Malaysia.

Menurut Pengurus Deposit Wilayah BSN Kedah/Perlis Shafinaz Shafie, pihaknya mengambil peluang menyertai program KDB yang dianjurkan MCMC untuk memberikan maklumat dan nasihat kepada orang ramai berhubung tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mungkin menggunakan nama BSN untuk menjalankan aktiviti 'scam'.

"Scammer ini dia ada pelbagai taktik, jadi jika hendak percaya kepada sesuatu carilah maklumat pada tempat yang sebenar, janganlah percaya 100 peratus apa yang diiklankan dalam media sosial," katanya.

Bagi Pegawai Eksekutif Pembangunan Usahawan TEKUN Nasional Kedah Mohamad Saidi Azizan pula, masyarakat perlu berhati-hati dengan taktik scammer yang mengguna pakai nama agensi tertentu bagi melakukan penipuan.

"Sebagai contoh TEKUN sendiri pernah berhadapan dengan situasi.. ada pihak menjual borang permohonan pinjaman TEKUN ini dengan harga RM200 atau RM300 dan kita mengambil tindakan perjelaskan kepada orang ramai.

"TEKUN ini tidak minta bayaran apa pun, borang itu kita bagi secara percuma, jadi jangan mudah percaya kepada pihak luar," katanya yang turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran yang betul.

Terdahulu, Inisiatif Memperkasa Komuniti Parlimen Kuala Kedah melalui Program KDB itu dihadiri kira-kira 400 masyarakat setempat yang turut berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada program Jualan Rahmah yang diadakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan