AM > BERITA

Rasuah Penyakit Masyarakat Yang Merentasi Etnik, Harus Ditangani Secara Kolektif - Lee Lam Thye

11/08/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Rasuah adalah penyakit masyarakat yang merentasi etnik dan harus ditangani secara kolektif, menurut ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Aktivis sosial itu berkata dengan menangani rasuah secara kolektif dan tidak menyalahkan seseorang berdasarkan kepada isu agama atau kaum, ia akan membawa kepada peluang yang lebih besar kepada usaha memerangi gejala itu dengan lebih berkesan.

“Mari kita pupuk semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira fahaman agama atau kaum bagi membolehkan kita mengukuhkan perpaduan dan keharmonian sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata tindakan menuduh kumpulan agama atau etnik tertentu terhadap penularan rasuah, boleh mengekalkan stereotaip dan prasangka yang berbahaya, sekali gus menghalang usaha untuk menangani punca rasuah.

Oleh itu, beliau berkata terdapat keperluan bagi rakyat Malaysia untuk menyedari bahawa rasuah adalah isu yang mendesak dengan kesan yang meluas ke atas kesejahteraan keseluruhan masyarakat.

“Dengan melibatkan masyarakat sivil, media dan individu dalam memerangi rasuah, Malaysia boleh memperkasa rakyatnya untuk menuntut akauntabiliti dan menyumbang kepada usaha melahirkan masyarakat yang lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menyifatkan gesaan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay Khamis lepas agar semua pihak tidak mengaitkan rasuah dengan kaum tertentu, sebagai tepat pada masanya, wajar dan patut dipuji.

Lee seterusnya menegur kecenderungan orang ramai untuk terjerumus ke dalam perangkap naratif yang mengklasifikasikan kaum tertentu dengan tabiat dan tingkah laku yang anti-nasional dan tidak produktif.

"Tiada bukti, saintifik atau sebaliknya, bahawa tingkah laku anti-sosial atau merosakkan adalah ciri-ciri yang menentukan sesuatu kaum. Marilah kita mengambil iktibar daripada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara itu dan berhenti daripada membuat stereotaip kaum tertentu, kerana ia hanya akan menjejaskan pembinaan negara," katanya.

Sebelum ini Ayob Khan dalam hantaran video di Facebook mengkritik sekeras-kerasnya cubaan sesetengah pihak mengaitkan isu itu dengan kaum tertentu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan