AM > BERITA

Semua Cadangan, Pandangan Pemain Industri, NGO Di Labuan Untuk Belanjawan 2025 Dipertimbangkan - Zaliha

11/08/2024 05:44 PM

LABUAN, 11 Ogos (Bernama) -- Semua cadangan dan pandangan yang diketengahkan oleh pemain industri tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini akan dipertimbangkan dengan teliti dalam Belanjawan 2025 akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menangani isu-isu dibangkitkan oleh pihak berkepentingan di sini bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan ekonomi pulau berkenaan.

Zaliha berkata malam tadi telah diadakan satu sesi perjumpaan membabitkan 150 pemimpin serta wakil daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan perniagaan, yang berkumpul bagi membincangkan inisiatif Bajet 2025 untuk Labuan.

“Sesi itu mengetengahkan banyak idea dan cadangan positif mengenai cara memacu ekonomi tempatan ke hadapan dan kami telah menerima maklum balas yang membina tentang cara meningkatkan ekonomi Labuan.

"Yakinlah, pandangan-pandangan ini tidak akan diabaikan begitu sahaja, tetapi akan dimasukkan ke dalam cadangan Bajet 2025," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Kembara Merdeka di Kompleks Ujana Kewangan di sini.

Beliau berkata antara fokus utama Belanjawan 2025 bagi Labuan adalah inisiatif pembangunan ekonomi dan penambahbaikan infrastruktur, dan juga beberapa cadangan lain seperti pemindahan terminal feri ke tapak baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan