AM > BERITA

Jelajah KMJG 2024 Di Semenanjung Tamat Hari Ini

11/08/2024 07:06 PM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 menamatkan penjelajahannya di Semenanjung hari ini dengan siri terakhir melibatkan perjalanan sejauh 119 kilometer (km) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) .

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia Muhammad Najmi Mustapha berkata sebanyak 30 motosikal berkuasa tinggi bersama kenderaan beberapa agensi kerajaan menamatkan siri penjelajahan tersebut di hentian terakhirnya di Dataran Putra di sini.

"Kesemua peserta dilihat begitu teruja untuk sama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan di setiap checkpoint yang dilalui di Semenanjung mereka menggalakkan seluruh lapisan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.

"Selain Semenanjung, kembara ini juga melibatkan Sarawak, Sabah dan Labuan  dengan keseluruhan perjalanan sejauh 8,551km," katanya kepada Bernama pada majlis sambutan konvoi KMJG 2024 WPKLP di sini hari ini.

Beliau berkata KMJG 2024 kini meneruskan perjalanan ke Sarawak yang dijangka berakhir pada  26 Ogos ini sebelum ke Sabah yang akan tamat pada 16 Sept, manakala KMJG Labuan pula diadakan hari ini.

Dalam pada itu, KMJG 2024 WPKLP selama dua hari turut disertai beberapa agensi kerajaan antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Pos Malaysia.

Pasukan konvoi tersebut singgah di beberapa lokasi antaranya Pasar Wirawati, Taman Maluri dan Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur.

Di Pasar Wirawati, Menteri Perladangan dan Komoditi selaku Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkesempatan menyerahkan Jalur Gemilang kepada penduduk dan peniaga di kawasan itu.

Pengusaha Susila Food Corner, Vasugi Shanmugam, 44, yang ditemui di pasar berkenaan mengakui teruja dengan program kembara tersebut terutama semangat yang ditunjukkan oleh peserta terlibat.

"Di kawasan kami ini juga, penduduk hidup saling memahami tanpa mengira agama dan bangsa. Saya rasa semangat perpaduan inilah yang menjadikan negara kita unik," katanya.

Pesara, Razlan Razak, 61, pula berkata pemberian Jalur Gemilang kepada orang ramai dapat menyemarakkan lagi semangat masyarakat untuk menyambut Hari Kebangsaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pelepasan KMJG 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Julai lepas, singgah di 10 negeri dalam usaha menguar-uarkan sambutan Hari Kebangsaan dengan di setiap lokasi Jabatan Penerangan mengatur pelbagai program menarik untuk masyarakat setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan