AM > BERITA

Peningkatan Penyakit Jantung Dalam Kalangan Muda Malaysia Semakin Membimbangkan -  Pakar Kardiologi

12/08/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Penyakit jantung yang sering dianggap masalah golongan tua, kini semakin menjejaskan penduduk muda di Malaysia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kes 'pembunuh senyap' ini.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sunway (SMC) Dr Richard Chan Tze Ming berkata kajian perubatan terkini menunjukkan peningkatan kes penyakit jantung iskemik, atau lebih dikenali sebagai serangan jantung, dalam kalangan penduduk muda Malaysia sepanjang dekad yang lalu.

Beliau berkata di Malaysia, kematian akibat penyakit jantung iskemik semakin meningkat, dengan statistik menunjukkan peningkatan daripada 9,300 kes pada tahun 2010 kepada 20,300 kes pada  2022.

"Perkara membimbangkan ialah trend peningkatan pesakit berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an yang mengalami serangan jantung. Perkembangan ini amat merisaukan dan menunjukkan bahawa perubahan segera perlu dilakukan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Dr Richard berkata beberapa faktor menyumbang kepada peningkatan serangan jantung dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk gaya hidup sedentari, pilihan pemakanan yang tidak sihat, dan tabiat merokok, selain daripada predisposisi yang tidak dapat dielakkan, seperti sejarah keluarga dan genetik.

"Masyarakat kita telah menjadi lebih digital, menyebabkan kurangnya aktiviti fizikal. Ramai anak muda menghabiskan hari-hari mereka dengan duduk di hadapan komputer atau terlibat dalam hiburan berasaskan skrin," katanya.

Beliau berkata tekanan emosi yang tidak terurus, seperti yang berkaitan dengan kerja, hubungan peribadi, dan masalah kewangan, juga boleh menyebabkan penyakit jantung.

"Tekanan emosi boleh menyebabkan penyakit jantung dengan meningkatkan tekanan darah dan masalah berkaitan, serta kes 'sindrom patah hati' di mana tekanan melampau boleh menyebabkan kegagalan jantung secara tiba-tiba."

"Sindrom patah hati adalah keadaan menyebabkan jantung tiba-tiba gagal berfungsi kerana kawasan jantung menjadi lemah akibat tindak balas neurohormonal. Jadi, apabila ada emosi yang melampau, hormon yang dikeluarkan boleh merosakkan jantung," katanya.

Menurut Dr Richard, menghindari penyakit jantung memerlukan perubahan gaya hidup yang signifikan, dan oleh itu, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk melakukan aktiviti fizikal yang kerap, mengamalkan diet sihat dan mengelakkan merokok.

Beliau juga menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutamanya bagi mereka yang mempunyai faktor risiko yang dinyatakan sebelum ini atau sejarah keluarga penyakit jantung.

Katanya pengesanan awal dan pengurusan keadaan seperti diabetes dan kolesterol tinggi juga adalah penting.

"Kita tidak akan mengetahui bahawa kita mempunyai keadaan kesihatan tertentu sehingga menjalani pemeriksaan. Oleh itu, saya sangat menggesa semua rakyat Malaysia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan awal, kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mengenal pasti dan mengurangkan faktor risiko ini," katanya.

Ditubuhkan pada 1999, SMC ialah hospital kuaternari swasta terbesar setakat ini di Malaysia dengan 724 katil berlesen dan lebih daripada 60 kepakaran perubatan, dengan kapasiti untuk berkembang kepada 1,100 katil sebaik sahaja hospital itu menyiapkan blok keenamnya, Menara F, dalam kampusnya.

Hospital ini meraikan ulang tahun ke-25 tahun ini.

Beberapa anugerah penting diterima oleh SMC termasuk disenaraikan sebagai satu daripada 250 Hospital Terkemuka Dunia oleh Newsweek 2024, serta baru-baru ini tersenarai dalam kalangan 75 hospital terbaik bagi kategori Pembedahan Jantung dan Kardiologi dalam penarafan Hospital Khusus Terbaik Newsweek Asia Pasifik 2024.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan