AM > BERITA

Tatakelola Pegangan Utama Shamsul Azri Terajui Sektor Awam

12/08/2024 10:44 AM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata tatakelola yang baik akan menjadi satu daripada agenda penting beliau dalam mentadbir urus sektor awam negara.

Beliau berkata visi itu bagi menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh tatakelola.

"Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, tatakelola adalah amat penting, dan itu akan menjadi satu daripada agenda penting saya dalam mentadbir (pentadbiran awam)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik bermulanya tugas beliau sebagai KSN ke-16, di sini hari ini.

Ditanya antara intipati Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA), Shamsul Azri berkata berita yang bakal diumumkan akan menggembirakan seluruh penjawat awam.

"Tak boleh bocor rahsia, kena tunggu. Insya-Allah (akan) ada berita yang baik untuk semua penjawat awam," katanya.

MAPPA ke-19 dijangka berlangsung Jumaat ini (16 Ogos) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Shamsul Azri turut menyeru seluruh jentera perkhidmatan awam bekerjasama dengan beliau dalam membangunkan negara dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata penjawat awam mesti taat setia kepada kerajaan dan menjadi benteng kepada negara.

"Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada, kita dapat memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Saya juga yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia akan bergerak ke arah yang lebih cemerlang," katanya.

Shamsul Azri yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), dilantik sebagai KSN berkuasa kuasa hari ini. Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos lepas.

Shamsul Azri, 55 tahun mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat dan menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan