AM > BERITA

Orang Asli Dilatih Teknik Pertanian Hidroponik NFT Seiring Kemajuan Negara

12/08/2024 03:19 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

SEPANG, 12 Ogos (Bernama) -- Seiring dengan arus permodenan, masyarakat Orang Asli di sini didedahkan dengan aktiviti pertanian sayuran berdaun menggunakan teknologi 'Nutrient Film Technique' (NFT) iaitu, kaedah hidroponik.

Pegawai Pertanian Daerah Sepang Rozman Sumiati berkata Kampung Orang Asli Kolam Air Bangkong, di sini, menjadi kampung pertama yang dipilih untuk projek rintis bagi aktiviti pertanian sayuran berdaun berasaskan teknologi moden.

Beliau berkata projek itu yang disertai sembilan penduduk kampung berkenaan yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu telah bermula pada awal tahun ini.

“Pada peringkat awal, kita berbincang dengan JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) dan memutuskan untuk melaksanakannya secara berperingkat. Fasa pertama melibatkan latihan dalam aspek teknikal, praktikal, dan teori.

“Fasa kedua, kami membawa mereka melawat kawasan kampung yang telah berjaya mengusahakan tanaman hidroponik. Kemudian, pada fasa ketiga, iaitu pada Jun baru-baru ini, kami membina model pertanian hidroponik (NFT) di kampung ini,” katanya kepada Bernama.

Rozman berkata antara pengisian latihan yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Pejabat Pertanian Daerah Sepang adalah pemilihan biji benih, pengendalian air, membancuh larutan baja dan pemasaran.

“Aspek paling penting ialah pemilihan biji benih, supaya peserta tahu benih yang digunakan berkualiti dan terjamin dari segi pertumbuhannya. Setelah beberapa minggu mengikuti kursus tersebut, kami mendapati bahawa masyarakat Orang Asli di kampung itu cepat belajar dan memahami modul latihan yang disampaikan oleh tenaga pengajar.

“Sesi latihan ini turut disertai oleh Tok Batin kampung ini, iaitu Ongin a/l Chinak @ Othman Abdullah yang sudah berusia 70 tahun. Beliau memahami dan berminat untuk buat pertanian hidroponik,” kata Rozman sambil menzahirkan penghargaan kepada Othman yang menunjukkan minat terhadap teknik tanaman itu walau sudah memasuki usia emas.

Beliau berkata usaha pemindahan teknologi dalam bidang pertanian tidak akan berhenti di situ sahaja, malah akan diperluaskan ke dua lagi kampung Orang Asli di daerah ini, iaitu Kampung Orang Asli Kelinsing dan Kampung Orang Asli Bukit Bangkong.

Rozman berkata objektif utama pemindahan teknologi tersebut adalah untuk memastikan perubahan dari segi pemikiran masyarakat Orang Asli dan membolehkan mereka menguasai serta berkemahiran dalam bidang pertanian berasaskan teknologi moden, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Fokus kita kepada pengembangan pertanian dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Macam mana kita nak bawa masyarakat Orang Asli untuk terlibat dalam pertanian menggunakan teknologi moden,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa penguasaan dan kemahiran dalam pertanian berasaskan teknologi moden akan membantu menyelaraskan proses pemodenan antara masyarakat umum dan masyarakat Orang Asli.

“Kita mahu mereka nikmati arus perkembangan teknologi terkini khususnya dalam bidang pertanian agar mereka dapat menikmati insentif yang disediakan kerajaan dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Othman menyifatkan inisiatif yang dijalankan oleh Pejabat Pertanian Daerah Sepang sebagai satu usaha yang amat dibanggakan kerana membawa perubahan kepada aktiviti pertanian penduduk di kampung itu.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, sebelum ini beliau tidak mengetahui tentang kaedah pertanian itu dan hanya mahir menanam dan mengusahakan kebun kelapa sawit miliknya.

“Sebelum ini kawasan ini bukan kawasan pertanian hidroponik sayuran, hanya ada tanaman pokok kelapa sawit. Tanaman sayur memang tidak pernah kita usahakan.

“Maka inisiatif ini merupakan sejarah bagi kampung ini. Kalau ada modal, saya akan usahakan sendiri,” katanya menambah agar pihak kerajaan menyediakan dana khusus dalam bidang pertanian hidroponik kepada masyarakat Orang Asli bagi tujuan peningkatan sosioekonomi.

Ditanya kesediaan beliau dan penduduk untuk menyediakan tanah lapang kepada Pejabat Pertanian Daerah Sepang bagi tujuan peluasan aktiviti pertanian hidroponik, Othman berkata mereka tidak keberatan untuk tujuan itu kerana ingin melihat kemajuan dan pemerkasaan sosioekonomi dalam kalangan penduduk di kampung itu.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dilaporkan berkata terdapat 853 kampung Orang Asli di negara ini yang berada di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Untuk rekod, terdapat 74 kampung Orang Asli di Selangor yang terdiri daripada suku kaum Mah Meri, Temuan dan Semai. Kampung-kampung ini merangkumi daerah Hulu Selangor, Gombak dan Petaling; Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat serta Klang.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, inisiatif seperti ini melambangkan kesatuan dan kemajuan negara yang berbilang kaum, memberi kuasa kepada setiap komuniti untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan berterusan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan