AM > BERITA

Hospital Pasir Gudang Dijangka Beroperasi Feb, Jika Pembinaan Siap Akhir Tahun

12/08/2024 07:24 PM

ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos (Bernama) -- Hospital Pasir Gudang di Johor Bahru dijangka beroperasi dua bulan lebih awal iaitu pada Februari 2025 sekiranya pembinaan selesai pada hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pembinaan hospital itu setakat ini telah mencapai kemajuan kira-kira 60 hari lebih awal daripada jadual.

“Setakat ini progres pembinaan Hospital Pasir Gudang lebih awal daripada jadual iaitu kira-kira 60 hari, mudah-mudahan hujung tahun kita boleh selesai dari segi pembinaan.

“Jika selesai dan dapat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), saya dimaklumkan pada Februari depan ia dijangka dapat beroperasi secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Modal Insan Latihan ‘Malaysian Trauma Life Support’ (MTLS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap kemajuan pembinaan hospital itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan pada Jun lepas dipetik berkata hospital tersebut dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada April berdasarkan kemajuan pembinaan.

Beliau berkata projek pembinaan bernilai RM375.7 juta itu melibatkan enam skop kerja iaitu membina hospital bertaraf hospital pakar, kuarters kelas G, asrama jururawat, bangunan mekanikal dan elektrik, bangunan sokongan serta kerja-kerja infrastruktur.

Hospital yang dibangunkan di Bandar Seri Alam, Masai dengan kawasan berkeluasan 20.6 hektar itu, akan dilengkapi dengan fasiliti 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir.

Hospital yang berjarak 19 kilometer (km) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12 km dari Hospital Sultan Ismail (HSI) itu dapat meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di kedua-dua hospital kerajaan itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada Johor mempunyai masalah kekurangan petugas kesihatan Ling berkata ketika ini terdapat 1,454 petugas kesihatan seluruh negeri berbanding 1,532 perjawatan yang sepatutnya diisi.

"Kita masih lagi berhadapan dengan kekurangan petugas atau staf kesihatan. Saya fikir kita kurang hampir 100 orang, itu ikut perjawatan sahaja belum kira dari segi keperluan lain.

"Diharapkan dengan pelaksanaan pelbagai kursus termasuk program MTLS oleh Persatuan Kecemasan Trauma Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ini dapat membantu petugas sedia ada," katanya.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan