AM > BERITA

Pentarama X Kelab Malaysiaku Beri Peluang Pelajar Tonjol Semangat Patriotisme

13/08/2024 10:32 AM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Program Pentarama X Kelab Malaysiaku memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan semangat patriotisme menerusi pelbagai aktiviti, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) itu diadakan di 38 sekolah di lima negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata semangat patriotik atau rasa kecintaan yang mendalam kepada negara perlu disemai dan dipupuk dari peringkat sekolah agar sebati dalam diri individu.

Selain itu katanya pelbagai program berteraskan kenegaraan juga perlu diteruskan bagi membina jati diri generasi pelapis itu.

“Kita kena teruskan (program) sebab semangat cintakan negara ini sebenarnya (membuatkan) mereka (pelajar) bangga dengan Jalur Gemilang walau ke mana mereka pergi sekali pun, mungkin mewakili negara untuk sukan, sambung pengajian ke luar negara atau bekerja di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pentarama X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1) sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024.

Menurut Mohamad Fauzi program berkenaan merupakan satu daripada program di bawah inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang dilancarkan tahun ini, meliputi lima kluster iaitu pendidikan, pendidikan tinggi, komuniti, keselamatan dan kesihatan.

Antara pengisian program berkenaan yang berlangsung hingga 16 September ini termasuk sembang santai, nyanyian lagu patriotik dan kuiz kenegaraan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan