AM > BERITA

'Podcast' Perlu Jadi Platform Ilmiah, Bukan Bual Kosong - Zulkifli

13/08/2024 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan untuk memanfaatkan audio siar (podcast) sebagai platform untuk perkongsian bermakna dan ilmiah, bukan sekadar berbual kosong.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa ruang itu sepatutnya digunakan oleh golongan intelektual untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara. 

“Kita raikan kebebasan untuk berkarya, memberikan pandangan, namun apa yang paling penting apakah objektif dan impak kepada perbincangan ataupun idea itu?

“Marilah kita bersama-sama membicarakan tajuk-tajuk yang produktif yang konstruktif yang boleh membawa negara kepada kemajuan, kepada perpaduan, kepada kesatuan hati rakyat Malaysia kerana pada hari ini cabarannya begitu besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Zulkifli berkata demikian selepas merasmikan program Nadwah Mahasiswa Timur Tengah yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya hari ini. 

Program berkenaan melibatkan mahasiswa dari Mesir, Jordan, Arab Saudi, Maghribi dan beberapa negara dari Timur Tengah bertujuan mengeratkan jaringan kerjasama di antara kerajaan dan kumpulan itu dari aspek kebajikan serta akademik.

Beliau berkata ukhuwah dalam kalangan generasi baharu pelajar Timur Tengah juga perlu diperkuatkan kerana mereka boleh memberikan tauladan dan menjadi pemangkin perubahan serta perpaduan. 

Menurut Zulkifli, sudah sampai masanya generasi muda pelajar Timur Tengah bangkit dengan naratif baharu perpaduan dan berjiwa besar untuk menangani perbezaan serta kepelbagaian.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan