AM > BERITA

Sokongan Komuniti E-dagang Bantu Kejayaan Lampu Cherita

13/08/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang peniaga dalam talian Mohd Zaid Othman menghadapi pelbagai cabaran pada permulaan perniagaan lilin wangi, Lampu Cherita yang dilancarkan pada 2019.

Antara lain, beliau pernah kerugian RM100,000 akibat banjir pada 2021 dan semasa itu, Mohd Zaid bersyukur kerana mendapat sokongan kuat komuniti penjual e-dagang Shopee, termasuk dari kumpulan Facebook ShopeeUni. 

"Bantuan mereka semasa waktu yang paling sukar buat saya, meringankan beban yang sangat berat dan mengingatkan saya tentang ikatan kuat yang telah dibentuk," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Shopee di sini hari ini. 

Mohd Zaid berkata solidariti komuniti e-dagang juga membantu beliau membina semula perniagaannya selepas bencana itu, selain menjadi sumber inspirasi dan membawa perspektif baru kepadanya untuk kekal maklum tentang trend dan cabaran industri. 

Selain itu, Mohd Zaid berkata komuniti e-dagang juga banyak membantu semasa berdepan kerumitan dan cabaran selaku penjual baharu, seperti Program Shopee Xperts yang melibatkan sekumpulan pelatih sah dan penjual yang berjaya berkongsi ilmu serta pengalaman. 

Bimbingan mereka membolehkan Mohd Zaid mengaplikasikan amalan terbaik, melakukan penambahbaikan dan memaksimakan keberkesanan alatan platform perniagaan yang seterusnya memacu kejayaan Lampu Cherita. 

Mohd Zaid kini 'memberi kembali kepada masyarakat' selaku mentor yang antara lain berkongsi mesej motivasi, tips praktikal, strategi pemasaran dan nasihat tentang cara memanfaatkan alat perniagaan Shopee di Facebook ShopeeUni. 

"Saya amat bersyukur atas sokongan ketika berdepan pelbagai cabaran. Kini, saya berasa puas dapat membantu yang lain mencapai kejayaan. Menyokong komuniti adalah cara saya memberi kembali dan membantu yang lain berjaya seperti yang telah saya terima," katanya. 

Sumbangan Mohd Zaid diiktiraf apabila dipilih sebagai salah satu daripada 17 ahli Shopee Bintang pada 2022 yang menandakan peralihan beliau daripada penjual yang berjaya kepada mentor dalam program Komuniti Shopee Bintang. 

Mohd Zaid yang antara lain berinteraksi dan berkongsi kepakaran di Facebook Live, juga menekankan kepentingan untuk sentiasa belajar dengan mengadaptasi trend baru dan menggunakan sepenuhnya sumber seperti Shopee Xperts dan Shopee University.

Sehubungan itu, Shopee selaku platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan menyifatkan kisah Mohd Zaid sebagai 'bukti' kuasa transformasi sokongan komuniti dan pembelajaran berterusan dalam dunia e-dagang.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata komitmen mereka lebih daripada menyediakan alatan perniagaan, tetapi turut mengakui kepentingan dan memupuk perkembangan komuniti untuk membantu penjual tempatan berjaya dalam era digital.

"Kami berusaha membantu memenuhi potensi penuh mereka yang memacu ekonomi digital Malaysia dengan menyediakan sumber penting kepada PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan membina komuniti penjual yang kukuh," katanya. 

Kenyataan sama juga memaklumkan Shopee turut menjalin kerjasama yang dapat meningkatkan PMKS, antaranya dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi program Pupuk@Shopee bertujuan melatih dan memperkasakan penjual e-dagang luar bandar melalui kelas Shopee University. 

Kelas itu yang dijalankan di pusat internet luar bandar MCMC  telah memacu jualan sebanyak RM55 juta untuk 29,000 penjual tempatan yang meningkatkan pendapatan harian purata mereka sebanyak 22 peratus dari tahun ke tahun.

Selain itu, program OKU (orang kurang upaya) Celik Digital dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menyaksikan 500 penjual OKU tempatan belajar cara mengemudi pasaran digital melalui sesi latihan dijalankan Shopee.

-- BERNAMA 

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini. 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan