AM > BERITA

Projek Pan Borneo Sabah: KKR Akan Kerap Turun Padang Bantu Kerajaan Sabah

13/08/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan turun padang dengan lebih kerap untuk membantu kerajaan negeri Sabah memulihkan pakej-pakej kerja bagi Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dikategorikan bermasalah dan ‘sakit’.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya mendapati ada kelemahan dari segi penyelarasan kerja di tapak dan jika terdapat sesuatu isu, ia terlalu lambat diselesaikan antara pihak berkaitan.

“Sebab itu, saya telah arahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan dan difahamkan ia akan diadakan dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama penggiat industri pembinaan di Kompleks KKR di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dipercepat bagi membolehkan rakyat negeri itu menikmati kemudahan jalan raya lebih baik.

Nanta berkata beliau tidak bersikap ‘cuci tangan’ dalam isu kelewatan pembinaan projek itu kerana pelaksanaannya telah diserahkan kepada kerajaan negeri selaku pelaksana projek manakala KKR ialah pemantau.

“Mereka (Kerajaan Sabah) ada Kementerian Kerja Raya sendiri yang dilantik sebagai pelaksana projek. Jadi, saya bukan nak kata nak cuci tangan, tidak, tetapi kita akan kerap turun padang untuk bantu mereka kerana pakej kerja yang sakit perlu kita pulihkan untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Nanta berharap KKR menerima peruntukan yang lebih besar menerusi Belanjawan 2025  khususnya bagi kerja-kerja penyelenggaran jalan raya.

Beliau berkata pihaknya menerima peruntukan RM9.511 bilion iaitu peningkatan 12.7 peratus pada tahun ini berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada 2023. 

“Kalau tengok peruntukan untuk 2023 dan 2024, ada pertambahan kira-kira 12 peratus, jadi kita harap (peruntukan baharu) jangan kuranglah...kalau boleh, kita mahu lebih daripada itu,” katanya.

Nanta berkata pihaknya juga akan memohon tambahan RM100,000 untuk setiap Jurutera Daerah bagi membantu menyelenggara jalan daerah pada tahun depan.

Beliau berkata setiap Jurutera Daerah diperuntukkan RM200,000 oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang kecil dan segera di kawasan masing-masing tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 yang diterima pada 2023.

Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan akan dibentang pada 18 Okt depan di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan