AM > BERITA

Kepimpinan PAS jangan jahil isu tanah - Pengerusi Kesedar

13/08/2024 09:24 PM

GUA MUSANG, 13 Ogos (Bernama) -- Kepimpinan PAS diingatkan supaya tidak jahil dalam isu tanah di kawasan Kelantan Selatan dan sengaja menimbulkan polemik politik demi meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Zawawi Othman juga mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan agensi itu sebagai bahan kempen dengan melontarkan tuduhan melulu dan tidak berasas.

Beliau berkata tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej Kesedar sebagai agensi peneraju pembangunan Kelantan Selatan tetapi juga memberikan impak kepada rakyat di kawasan terbabit.

“Saya perlu jelaskan perkara ini kerana mereka serang kita ketika tempoh PRK kerana mereka ingin mendapat simpati serta memburukkan Kerajaan Persekutuan, dan akhirnya Kesedar yang diserang.

“Kebetulan mereka serang kita ketika pilihan raya, jadi kita jawab masa pilihan raya. Kalau mereka serang selepas pilihan raya, kita jawab selepas pilihan raya, kita kena perbetulkan perkara ini. Jadi (Timbalan Menteri Besar Datuk Seri) Takiyuddin (Hassan) jangan jahil tentang tanah,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Zawawi berkata demikian ketika mengulas dakwaan Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung PAS, menerusi ceramah politiknya di PRK itu bahawa Kesedar melengahkan proses pemberian geran kepada penduduk yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Sebelum ini, isu itu telah dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa tanah milik Kesedar seluas 7,000 hektar sudah dipecahkan mengikut lot dan dalam proses diagih serta ditukar hak milik kepada 2,200 peneroka di bawah Rancangan Kemajuan Tanah secara berfasa.

Zawawi berkata proses pindah milik itu memakan masa kerana perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Kesedar sentiasa komited dalam menyempurnakan urusan secara berperingkat dan pemilikan lot ladang ini di dalam fasa akhir sebelum diserahkan kepada peneroka dalam jangka waktu terdekat,” katanya. 

Beliau berkata bagi Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) yang juga di bawah Kesedar, permohonan perlu dilakukan oleh peneroka sendiri di Pejabat Tanah dan Jajahan dengan hanya mendapatkan perakuan serta sokongan daripada agensi itu.

“Sehingga hari ini, Kesedar tidak pernah membuat sebarang permohonan milik tanah bagi pihak peneroka RPT,” katanya. 

Zawawi berkata pihaknya juga berusaha menyelesaikan isu pembahagian lot rumah kepada 585 bekas peserta projek Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dijangka selesai hujung tahun depan.

PRK DUN Nenggiri, yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan