AM > BERITA

Tauliah mengajar Ustaz Don di Selangor ditarik - JAIS

14/08/2024 12:28 AM

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Tauliah mengajar penceramah bebas Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don di Selangor telah ditarik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah Bil.1/2024 pada 24 Julai lepas. 

“Surat penarikan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 31 Julai lalu dan Ustaz Don diberikan tempoh 14 hari untuk merayu berkuat kuasa daripada surat penarikan tauliah diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan penarikan tauliah mengajar Ustaz Don dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Pada 25 Jun lepas, JAIS dilaporkan mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musala bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Ustaz Don untuk mengajar apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.

Arahan itu dikeluarkan berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan Ustaz Don disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.  

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan