AM > BERITA

Pascabanjir: Pekan Masjid Tanah Meriah Dengan Lelongan Pakaian

14/08/2024 05:28 PM

ALOR GAJAH, 14 Ogos (Bernama) -- Suasana di sekitar pusat perniagaan di pekan Masjid Tanah di sini meriah bagaikan ingin menyambut Aidilfitri apabila rata-rata peniaga pakaian yang terjejas akibat banjir di situ membuat jualan lelong dengan harga serendah RM10.

Pemilik Butik Pakaian Sapura, Safiah Ashari berkata dia melakukan jualan itu bermula Isnin lepas setelah air banjir yang naik sehingga paras paha telah menenggelamkan lebih 3,000 pasang baju di kedainya seperti baju kurung dan pakaian kanak-kanak dengan kerugian hampir RM100,000.

"Sebenarnya pakaian ini tidaklah rosak sangat kerana sebaik sahaja air banjir surut, kami terus basuh pakaian ini. Tetapi tidak sangka apabila kami menjemur pakaian ini di depan kedai, orang ramai mula datang tengok dan beli.

"Jadi, kami buat jualan lelong ini bukan sahaja untuk menampung kerugian yang dialami, tetapi juga untuk menghabiskan stok sedia ada dan sambutan juga amat menggalakkan, kebanyakan pelanggan mengetahui jualan ini melalui TikTok dan Facebook," katanya kepada Bernama.

Safiah berkata sekurang-kurangnya lapan kedai pakaian di lot bangunan perniagaan di situ yang mengalami nasib sama akan turut melakukan jualan lelong sehingga semua pakaian habis dijual.

Sementara itu, seorang pengunjung Rosita Azhar 35, berkata dia tidak kisah membeli pakaian berkenaan kerana kualitinya masih elok walaupun terkena air banjir.

"Saya beli baju Melayu dan kurta untuk anak-anak berharga kira-kira RM10 dan RM15, saya sendiri membeli tiga pasang baju kurung dengan harga antara RM25 hingga RM50, sangat berbaloi kerana semuanya cantik dan kainnya sangat berkualiti.

"Memang ada bau sedikit tetapi bagi saya itu bukan masalah kerana baju ini boleh dibasuh," katanya.

Bagi Roslan Iskandar, 56, jualan itu memberi peluang untuknya membeli baju Melayu dan kurta yang berkualiti untuk dipakai semasa mengerjakan solat berjemaah di masjid.

"Pendapatan saya tidak menentu, apabila ada jualan lelong memang saya akan beli kerana boleh tukar-tukar pakai untuk ke masjid atau kenduri … kita tahu harga baju sekarang memang mahal, dapat beli pada harga RM35 bagi sepasang baju Melayu memang berbaloi," katanya.

Pada Ahad lepas, empat kawasan di Masjid Tanah, Alor Gajah iaitu Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, Taman Masjid Tanah Ria dan Durian Daun dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan selama lebih enam jam dan disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan