AM > BERITA

Prasarana Akan Tambah 300 Van DRT

14/08/2024 04:25 PM

PETALING JAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menambah 300 van baharu untuk perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) di bawah operasi Rapid Bus Sdn Bhd bermula Disember ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata van baharu itu dijangka diterima secara berfasa bermula Disember hingga Jun tahun depan melibatkan 30 van pada fasa pertama dengan 10 daripadanya dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi dan mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Penambahan van ini bagi menampung peningkatan permintaan untuk perkhidmatan DRT yang diperkenalkan demi menyokong perkhidmatan sedia ada Rapid Bus selain menjadi tunggak kesinambungan perbatuan pertama dan terakhir perkhidmatan rel Rapid KL di Lembah Klang dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan perkhidmatan DRT di Stesen LRT Taman Bahagia di sini hari ini. 

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada Mei tahun lepas dengan hanya satu laluan dan sebuah van, perkhidmatan Rapid DRT di Lembah Klang kini telah berkembang kepada sembilan laluan  melibatkan 18 van.

Perkhidmatan itu juga telah dilancarkan di Pulau Pinang pada 1 Ogos lepas melibatkan satu laluan yang menggunakan dua van.

Antara laluan itu ialah dari Stesen LRT Alam Megah-Seksyen 27 Shah Alam, LRT Taman Paramount-Kampung Baiduri, LRT Bahagia-SS6, LRT Sri Rampai-Giant Ulu Kelang, LRT Asia Jaya-MRT Phileo Damansara dan Farlim-Air Itam di Pulau Pinang. 

Mohd Azharuddin berkata melalui penambahan van itu, pihaknya merancang menyediakan perkhidmatan DRT di kawasan rel lain seperti laluan Putrajaya, Kajang dan Ampang serta kawasan yang tiada perkhidmatan rel atau Rapid Bus seperti Kuala Kuala Baharu.

Beliau juga berkata buat masa ini, pihaknya tiada perancangan menaikkan kadar tambang sedia ada kerana matlamat utama adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan memuaskan kepada pengguna.

“Dengan kadar tambang RM1 bagi setiap perjalanan, perkhidmatan Rapid DRT ini terbukti memberi manfaat kerana jumlah penggunaan keseluruhan mencecah 126,656 orang setakat 31 Julai lepas,” katanya.

Selain itu, katanya Prasarana sedang melihat kemungkinan untuk mewujudkan sistem pembayaran terbuka yang boleh diguna pakai pengguna dalam mana-mana perkhidmatan Prasarana berbanding hanya menggunakan kaedah pembayaran melalui kad Touch n Go dan pas perjalanan My50.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan