AM > BERITA

Tiada Kes Baharu Cacar Monyet Dilapor Dalam Negara - KKM

15/08/2024 03:12 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) --  Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu cacar monyet (mpox) dilaporkan di dalam negara setakat ini, meskipun berlaku peningkatan kes penyakit tersebut di rantau Afrika baru-baru ini. 

KKM memaklumkan di Malaysia, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir pada November 2023.

“Kesemua kes mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko dan kini telah sembuh serta tiada kematian dilaporkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Mpox merupakan sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesies di bawah genus Orthopoxvirus.

Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox, selain boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.

Merujuk kepada laporan situasi mpox yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 12 Ogos, dalam tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Jun 2024 terdapat sebanyak 99,176 kes mpox di seluruh dunia melibatkan 116 negara, dengan 208 kematian.  

Pada Jun 2024 sahaja terdapat 934 kes dan empat kematian dilaporkan di seluruh dunia, dengan 567 kes atau 60 peratus adalah dari rantau Afrika.

Menurut KKM gejala mpox ialah demam berserta ruam maculopapular rash atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.

“Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan hingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari.

“Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan hingga semua lepuh telah kering sepenuhnya,” menurut KKM.

Justeru, KKM menasihatkan individu yang ingin melawat ke negara yang melaporkan terdapat kes mpox agar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan mengelakkan aktiviti berisiko, manakala semua pengembara yang tiba dari negara berkaitan dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Bagi pengurusan kes mpox, pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan Guidelines on mpox management in Malaysia di laman sesawang portal rasmi KKM, www.moh.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan