AM > BERITA

'Stringer' Raih Banyak Faedah Mencarum Dengan Perkeso

15/08/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Pengamal media sambilan (stringer) yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dilindungi dan menerima banyak faedah sekiranya berlaku kemalangan ketika menjalankan tugas, kata Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso John Riba Marin.

Beliau berkata antara perlindungan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi yang layak adalah faedah perubatan dan pemulihan secara percuma selain pemberian keperluan asas.

“Sekiranya berlaku hilang upaya kekal, maka Perkeso akan bawa kes ke jemaah doktor untuk menentukan berapakah tahap hilang upaya kekal dan seterusnya bayaran pampasan kepada mereka sekiranya serius, jika lumpuh pula maka Perkeso akan membayar bayaran berkala sepanjang hayat. 

“Banyak lagi kelebihan yang boleh diperolehi penerima perlindungan ini. Jadi sebenarnya perkara ini adalah sangat penting. Sekurang-kurangnya...perlindungan pada tahap asas bagi setiap pekerja di negara ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperluas perlindungan sosial kepada stringers di Wisma Bernama di sini.

Memorandum itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin bagi pihak Bernama manakala John Riba Marin mewakili Perkeso dan majlis disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzzaman Nik Husin, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Memorandum itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menambah baik program perlindungan sosial, terutama bagi pengamal media yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas.

SKSPS bakal memanfaatkan seramai 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 setiap individu bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2024. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan