AM > BERITA

Lukisan Harimau Selatan, Tarian Zapin Ditampil Pada Mural Di Program Madani Rakyat Johor

15/08/2024 07:37 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Jika Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Utara, di Pulau Pinang menampilkan mural bertemakan perpaduan dan menarik perhatian orang ramai, pada program yang sama di peringkat zon selatan pula mural bertemakan Seni dan Budaya Semarak Perpaduan cuba diketengahkan.

Menampilkan simbol-simbol kebudayaan dan ikon warisan bangsa Johor seperti tarian zapin, kuda kepang di samping imej Harimau Selatan yang sinonim dengan negeri itu, mural berukuran 20 kaki x 40 kaki yang terletak berhampiran pintu utama program, menarik minat pengunjung untuk bergambar kenangan.

Penolong Kurator Balai Seni Negara Zulkarnain Zainol Abidin berkata mural ini adalah kolaborasi bersama pelukis mural Yaul Acap dan Faez Rauzan yang berasal dari Kluang, Johor.

“Mereka dibantu beberapa pelukis mural sekitar zon selatan di dalam praktik ‘Knowldege Transfer’. Mural dengan konsep sebegini merupakan inisiatif Balai Seni Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam mengangkat dan memperkenalkan pelukis setempat,” katanya. 

Beliau berkata mural itu berperanan sebagai dialog visual untuk memaparkan maksud perpaduan seiring dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain membawa tafsiran bahawa seni dan budaya mampu menyemarakkan lagi perpaduan masyarakat MADANI.

Sementara itu pelukis mural Faez Rauzan atau nama sebenarnya Nur Zulfaez Rauzan, 29, berkata beliau dan rakannya mengambil masa selama tiga hari menyiapkan mural berkenaan dengan menggunakan medium cat akrilik dan semburan cat.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif daripada Universiti Islam Selangor (UIS) itu berkata hujan menjadi antara menjadi cabaran utama mereka dalam melukis mural yang menggunakan cat biru, merah dan putih sebagai warna utama.

Program MADANI Rakyat Zon Selatan menjadi ruang bagi kerajaan memaklumkan dan menguar-uarkan pencapaian serta manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan komitmen berterusan dalam memperkasa rakyat, usahawan dan industri.

Program yang bermula hari ini hingga Sabtu di Dataran Universiti Teknologi Malaysia itu turut menyediakan lebih 170 perkhidmatan langsung oleh 34 kementerian dan agensi kepada rakyat seperti penukaran topi keledar percuma, diskaun saman trafik 50 peratus serta Jualan MADANI.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan