AM > BERITA

Celik Digital, kemahiran Belia Wanita Dalam ICT Perlu Dipertingkatkan - Teo

15/08/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Usaha meningkatkan celik digital dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)  untuk belia wanita perlu dipergiatkan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata kemajuan pesat dalam teknologi memerlukan mereka akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan berkaitan untuk bersedia menghadapi pasaran pekerjaan masa hadapan.

“Dalam konteks ini, menyokong wanita dan gadis dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kian mustahak. Memperkasakan wanita dan gadis dalam bidang STEM bukan hanya mengenai kesaksamaan ia juga berkait dengan melepaskan potensi belum diteroka yang boleh memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kami menggalakkan mereka untuk meneruskan pendidikan dan kerjaya dalam STEM, kami melabur untuk masa depan negara. 

“Kajian menunjukkan bahawa pasukan yang pelbagai terutama yang mempunyai perwakilan wanita yang kuat, cenderung menjadi lebih inovatif dan mencatatkan prestasi lebih baik dari segi kewangan,” katanya dalam ucapan perasmian di Girls In ICT Forum 2024 (GICT 2024) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Teo berkata berdasarkan laporan tahun lepas, beberapa negara seperti Iceland, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai kemajuan ketara mempromosikan wanita dalam STEM.

Beliau berkata Iceland diiktiraf sebagai negara utama memperjuangkan wanita dalam STEM, menawarkan purata gaji tertinggi merentas semua peranan pekerjaan, manakala Belanda di kedudukan kedua yang menyaksikan peranan STEM tersedia bagi setiap 1,000 pekerja wanita.

“Iceland mempunyai inisiatif pendidikan yang menggalakkan belia wanita menyambung pengajian dalam STEM sekali gus menyumbang kepada peratusan graduan wanita yang agak tinggi (35 peratus). Belanda pula mempunyai purata gaji wanita yang tinggi dengan 29 peratus tenaga kerja wanita di negara ini berkait dengan STEM.

“Amerika Syarikat (AS) mempunyai antara purata gaji wanita tertinggi. Penyelidikan mendedahkan bahawa 34 peratus lulusan STEM terdiri wanita dan 34 peratus berkaitan dengan bidang STEM. Ini berikutan AS mempunyai dasar peringkat persekutuan dan negeri yang menggalakkan kesaksamaan jantina dalam pendidikan," katanya.

Berdasarkan contoh-contoh ini, Teo berkata MCMC memainkan peranan penting dalam kemajuan teknologi dan digital melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Misi NADI adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia terutama di kawasan luar bandar dengan meningkatkan celik digital dan menyokong perniagaan dalam talian di peringkat tempatan.

Teo berkata GICT 2024 berfungsi sebagai platform penting menghimpunkan wanita yang berjaya daripada pelbagai industri untuk berkongsi pengalaman serta kisah kejayaan mereka dalam ekosistem ICT dan kepimpinan wanita.

Sementara itu, Pengarah Urusan MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dalam ucapan alu-aluannya berkata agensi itu berdedikasi untuk memastikan semua pihak tanpa mengira jantina mendapatkan akses kepada pengetahuan serta kemahiran digital untuk membentuk masa depan ICT.

“Satu daripada inisiatif itu melalui Malaysia ICT Volunteer (MIV). Menumpukan kepada pemerkasaan sosial, menyediakan peluang dan bimbingan, inisiatif ini memperkasakan ahlinya untuk menjadi pemimpin digital tempatan dan terlibat secara aktif dengan komuniti tempatan bagi meningkatkan perkembangan celik digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Penciptaan peluang ini terutama dalam kalangan wanita dan gadis, MIV membantu merapatkan jurang jantina dalam teknologi. MIV telah mengambil dan melatih lebih 11,000 sukarelawan sejak pelancaran program ini pada 2016,” katanya.

GICT 2024 yang menarik 300 peserta termasuk peneraju industri, tetamu dan penuntut universiti adalah sebahagian inisiatif MCMC sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan, memfokuskan pada celik huruf, pemerkasaan sosial dan memperluas peluang dalam landskap teknologi Malaysia.

Bertemakan "Kepimpinan" forum ini menumpukan kepada memperkasakan belia wanita dalam sektor ICT dengan menonjolkan model peranan wanita yang berjaya dan membincangkan strategi untuk menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman teknologi.

Agenda forum itu menampilkan empat sesi dialog menumpukan kepada bidang seperti celik digital dan perkembangan kerjaya ICT belia wanita, kepentingan bimbingan dan rangkaian dalam kemajuan kerjaya, menangani cabaran jantina dalam industri teknologi selain impak sosial serta ekonomi ICT.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan