AM > BERITA

MAPIM, ZUS Coffee Berkolaborasi Kutip Dana Bantu Rakyat Palestin Di Gaza

15/08/2024 11:14 PM

BANGI, 15 Ogos (Bernama) --  Jenama kopi Malaysia ZUS Coffee berkolaborasi dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi mengumpul dana kemansiaan untuk rakyat Palestin di Gaza melalui ‘Kempen 1,000,000 Penyokong & Sleeve Cawan Edisi Khas Gaza’.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata kempen berkenaan sebahagian daripada usaha berterusan mereka bagi menyediakan bantuan kemanusiaan dan solidariti kepada penduduk Gaza, yang terjejas akibat genosid berterusan oleh rejim Zionis.

“ZUS Coffee sebagai rakan kongsi sinergi kempen ini, memperkenalkan sleeve cawan bertema Gaza edisi khas, yang akan disertakan pada setiap pembelian kopi di cawangan mereka di seluruh negara.

“Pengguna aplikasi ZUS juga akan dapat menyumbang menerusi pilihan yang disediakan di dalam aplikasi tersebut. Hasil sumbangan akan disalurkan kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza,” katanya pada sidang di sini hari ini.

Ahmad Sani berkata melalui kempen sejuta cawan kopi edisi khas ZUS Cofee itu, pihaknya dan ZUS ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa rakyat Malaysia akan terus bersolidariti bersama Gaza, dan pelanggan kopi itu boleh menyalurkan sumbangan melalui aplikasi ZUS serendah RM1 hingga RM10.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Zuspresso Sdn Bhd  Venon Tian berkata kempen berkenaan merupakan langkah jenama kopi utama Malaysia itu, dalam menyatakan pendirian jelas menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Objektifnya, kita mahu menyebarkan mesej mengenai apa yang berlaku dibumi Palestin. Kita harap mesej kekejaman rejim Israel ini dapat disebarkan melalui secawan kopi kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan