AM > BERITA

Abang Johari Terima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang ASEAN

16/08/2024 01:08 AM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang ASEAN oleh Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN.

Pengerusi Institut Strategik KSI Tan Sri Majid Khan dan Presiden institut berkenaan Tan Sri Michael Yeoh menyampaikan anugerah itu kepada Abang Johari pada Majlis Makan Malam sempena Anugerah Usahawan ASEAN 2024 di sini.

Timbalan Pengerusi Institut Strategik KSI Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther, ketika mengumumkan anugerah itu, berkata Abang Johari adalah seorang pemimpin yang berdedikasi dan gigih dalam memartabatkan Sarawak di hadapan negeri-negeri dalam Malaysia menerusi beberapa inisiatif luar biasa.

Ini termasuk meletakkan Sarawak dalam peta transformasi tenaga global dengan mempromosi kelestarian dan teknologi hijau seperti hidrogen hijau serta menggalakkan universiti dan institusi pengajian tinggi menonjolkan kebolehan mereka bagi mengembangkan kumpulan bakat di Bumi Kenyalang untuk merebut peluang pada masa hadapan.

Ketika menerima anugerah itu, Abang Johari berkata beliau amat berbesar hati serta berharap Sarawak dan Malaysia boleh berganding bahu untuk menggapai lebih banyak pencapaian pada masa akan datang.

Sebarang kerjasama yang diwakili oleh anugerah ini bukan hanya untuk saya sebaliknya berpotensi untuk seluruh rantau ASEAN.

"Sarawak dikurniakan sumber asli yang banyak dan memberikan asas kukuh kepada kami untuk muncul sebagai hab serantau bagi perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan di bahagian dinamik Asia Tenggara ini. 

"Itulah sebabnya kami ingin mengubah ekonomi kami antaranya berasaskan tenaga boleh diperbaharui kerana Sarawak sudah lama terkenal dengan kekayaan sumber ini dan kami komited untuk membangunkan tenaga bersih 10 gigawatt atau 10,000 megawatt termasuk kuasa hidra dan turbin gas," katanya.

Selain Abang Johari, anugerah itu turut mengiktiraf 18 usahawan cemerlang daripada pelbagai kategori atas pencapaian dan sumbangan penting mereka termasuk Pengasas merangkap Pengerusi Kumpulan Acuman serta Acumen Capital dari Kemboja iaitu Sarath Ying dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain.

Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang ASEAN diberikan kepada usahawan cemerlang ASEAN yang telah menyumbang kepada pertumbuhan serantau dan kemakmuran ekonomi.

 Pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah juga boleh dilihat sebagai sesuatu yang signifikan kerana Malaysia akan mempengeruskan Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun depan.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan