AM > BERITA

Aktiviti Menunggang Kuda, 'Petting Zoo' Tarik Pengunjung Cilik

16/08/2024 10:08 PM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Cuti hujung minggu dimanfaatkan ibu bapa di sekitar daerah ini dengan membawa anak-anak mengunjungi Program MADANI Rakyat Zon Selatan yang diadakan di Dataran UTM, Skudai.

Paling mencuri tumpuan si cilik bersama ibu bapa mereka pada program itu ialah aktiviti menunggang kuda bernama ‘Jack’ dan ‘Zack, yang dikendalikan oleh Johor Equestrian dan Pusat Ekuin UTM.

Biarpun keadaan cuaca tidak menentu, tinjauan Bernama mendapati bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa turut teruja berpeluang menunggang haiwan berkenaan secara percuma.

Ibu kepada dua orang anak Zafirah Hafiz, 30, berkata anak-anaknya bangun seawal 6.30 pagi apabila mengetahui program itu turut menyediakan aktiviti menunggang kuda dan zoo haiwan jinak (petting zoo) sebelum mereka sampai di tapak program pada 8.30 pagi.

"Alhamdulillah anak-anak saya Zinirah Farid Aiman, 4, dan Zikri Farid Aiman, 1, menjadi orang terawal yang menunggang kuda hari ini. Anak pertama saya dapat tunggang kuda sebanyak dua kali…walau panas dan berpeluh, dia tetap suka.

"Selain itu anak saya berpeluang bergambar, mengusap dan membelai kuda jadi ia satu pengalaman yang sangat bermakna buat anak-anak," katanya kepada Bernama.

Pekerja swasta Naharullah Jamaluddin, 30, turut menzahirkan rasa gembira apabila dapat meluangkan cuti hujung minggu dengan membawa anak mengenali haiwan di zoo haiwan jinak dibawakan oleh MOJO Adventure.

"Saya memang sentiasa menantikan program atau aktiviti seumpama ini kerana zaman kini anak-anak terdedah dengan teknologi, jadi bila ada peluang kita perlu dedah anak-anak kita dengan alam semula jadi dan mengenal haiwan,” katanya.

Antara haiwan yang dipamerkan termasuk rakun, ular, arnab, burung merak dan paling istimewa alpaka.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi selaku kementerian peneraju dan kerajaan Johor.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan