AM > BERITA

Perbanyak Program Budayakan Tanam Pokok Di Lembah Klang - Fahmi

17/08/2024 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Program membudayakan penanaman pokok di sekitar Lembah Klang perlu diperbanyak, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata inisiatif itu memerlukan kerjasama pihak berkepentingan seperti Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk di kawasan masing-masing.

Program sedemikian katanya, turut akan berperanan menerapkan idea menanam pokok pelbagai spesies supaya biodiversiti alam tidak dipengaruhi.

"Hutan-hutan di Malaysia mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna, tapi sebagai contoh kalau kita tanam pokok yang sama seperti di Jalan Terasek (Bangsar), sekiranya satu daripada pokok terjangkit penyakit, ia lebih mudah merebak.

"Kalau kita pelbagaikan spesies pokok yang ditanam, ia akan menjamin kesihatan ekosistem di sesebuah tempat. Jadi, saya berharap Lembah Pantai dapat menjadi peneraju program seperti ini," katanya. 

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Bangsar Ecological Connector oleh Free Tree Society di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya di sini hari ini.

Bangsar Ecological Connector merupakan inisiatif penghijauan perintis yang menghubungkan hutan bandar Pulai Trail dengan kawasan hijau Rimba Ilmu di Universiti Malaya.

Fahmi berkata projek berkenaan bukan sahaja menambah baik ruang bandar, tetapi juga memupuk rasa empunya dan tanggungjawab dalam kalangan komuniti.

Sementara itu, Presiden Free Tree Society Carolyn Lau berkata inisiatif itu yang dipacu komuniti setempat, akan meningkatkan kesalinghubungan ruang hijau yang terpisah dalam kawasan kejiranan tempatan.

"Projek ini merangkumi kira-kira 60 hektar di pelbagai zon kediaman dan pendidikan.

"Dalam tempoh 20 bulan akan datang, ia bertujuan menambah 6,000 pokok dan tumbuhan tempatan untuk mewujudkan landskap laman ekologi dan landskap jalan mesra hidupan liar," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan