AM > BERITA

Memahami Keseimbangan Antara Pengambilan Air Mencukupi Dan Terlebih Penghidratan

19/08/2024 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Persoalan mengenai berapa banyak pengambilan air yang dianggap berlebihan untuk tubuh badan menjadi antara topik penting dalam perbincangan berkait kesihatan dan kesejahteraan berikutan semakin ramai yang mengambil berat tentang tahap penghidratan.

Mereka mula menyedari bahawa adalah penting untuk memahami keseimbangan antara pengambilan air yang mencukupi dan potensi berlakunya penghidratan berlebihan (hiponatremia).

Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman di Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) Dr Radzi Rodzlan Akib berkata hiponatremia bermaksud paras natrium atau dalam istilah mudah paras garam yang rendah dalam darah dan boleh memberi implikasi buruk kepada kesihatan.

Beliau berkata banyak faktor menyumbang kepada keadaan itu dan diagnosis hiponatremia memerlukan penilaian menyeluruh termasuk semakan sejarah perubatan pesakit, pemeriksaan fizikal, serta ujian darah dan air kencing untuk menentukan punca asasnya.

“Pengambilan air berlebihan merupakan satu daripada faktor penyebab hiponatremia yang berlaku akibat tahap natrium darah rendah disebabkan oleh hidrasi berlebihan,” katanya kepada Bernama.

Dr Radzi berkata buah pinggang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan garam dan air dalam badan dengan mengawal perkumuhan dan penyerapan semula air serta elektrolit termasuk natrium bagi memastikan parasnya kekal pada julat yang kecil, penting untuk fungsi sel yang normal.

“Jika buah pinggang gagal untuk menguruskan pengambilan air berlebihan ia boleh membawa kepada hiponatermia akibat ketidakseimbangan, iaitu pengambilan melebihi pengeluaran,” katanya.

Dr Radzi berkata beliau kerap menerima pertanyaan daripada pesakit mengenai pengambilan air yang bersesuaian, justeru menasihati mereka agar mengambil perhatian terhadap ‘isyarat semula jadi’ oleh tubuh iaitu rasa dahaga.

“Saya sentiasa menasihatkan pesakit agar minum apabila mereka berasa dahaga. Tubuh kita memantau dengan teliti komposisi darah, paras hormon dan natrium selain akan memberi isyarat apabila pengambilan air sudah mencukupi dan perlu berhenti minum,” katanya. 

Beliau berkata bagi demografi tertentu terutamanya atlet sukan lasak seperti pelari maraton dan triathlon, mereka menghadapi risiko lebih tinggi mengalami hiponatremia dan komplikasi berkaitan dengannya disebabkan peningkatan pengambilan air semasa aktiviti fizikal yang terlampau.

Dr Radzi berkata dalam kes sebegini, disebabkan oleh pengambilan air dalam kuantiti yang banyak pada tempoh yang singkat ditambah dengan perubahan hormon semasa aktiviti fizikal tersebut, mereka berisiko mengalami hiponatremia yang serius yang boleh menyebabkan bengkak otak dan mengancam nyawa sekali gus memerlukan rawatan segera.

“Persediaan awal adalah kuncinya. Rujuk doktor untuk dapatkan nasihat sebelum memulakan aktiviti seperti seperti itu. Pengambilan cecair yang mencukupi semasa aktiviti fizikal yang berat penting, iaitu dengan mengambil minuman mengandungi elektrolit dan bukan hanya air kosong," katanya. 

Selain itu, Dr Radzi berkata golongan tua juga antara kumpulan yang berisiko disebabkan beberapa faktor seperti masalah kesihatan sedia ada atau keadaan yang menyebabkan air kekal dalam badan (water retention) antaranya kerana kegagalan buah pinggang, jantung atau hati, pengambil ubat tertentu, pengambilan garam yang rendah, dan masalah keupayaan buah pinggang mencairkan kepekatan air kencing akibat penuaan.

“Pesakit dengan masalah psikiatrik seperti mereka yang menghidap polidipsia psikogenik (rasa dahaga yang berlebihan atau tidak normal), gangguan makan, skizofrenia atau bipolar juga boleh menunjukkan tingkah laku minum berlebihan, yang boleh menyebabkan hiponatremia," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata ahli keluarga kepada warga emas dan individu yang mempunyai masalah psikiatrik perlu memastikan pesakit mendapatkan rawatan doktor dan menghadiri temu janji susulan secara berkala.

Dr Radzi berkata simptom awal hiponatremia termasuk sakit kepala ringan dan kurang tumpuan, manakala simptom lebih membimbangkan pada peringkat seterusnya ialah bingung atau kekeliruan yang ketara, tahap kesedaran merosot, loya, muntah, sawan atau bahkan koma.

Beliau berkata warna air kencing merupakan petunjuk yang baik untuk memantau sama ada pengambilan air mencukupi atau individu itu perlu minum lebih banyak air.

“Jika air kencing jernih, itu tanda cukup hidrat tetapi jika air kencing pekat ia menunjukkan tubuh kekurangan air dan mungkin akan berasa dahaga. Jadi, ini adalah petunjuk yang baik untuk sama ada perlu minum lebih banyak atau sudah mencukupi,” katanya. 

Dr Radzi berkata rawatan untuk hiponatremia disesuaikan mengikut simptom pesakit dan secara umumnya ialah dengan menangani puncanya, mengehadkan pengambilan cecair, dan meningkatkan pengambilan natrium melalui suplemen atau larutan intravena, terutamanya saline hipertonik untuk kes yang teruk.

"Pemantauan berkala paras natrium serum dan simptom pesakit juga penting untuk mengelakkan pembetulan yang terlalu cepat dan komplikasi seperti sindrom demielinasi osmotik. Pendekatan harus disesuaikan untuk memastikan pengurusan yang selamat dan berkesan," tambahnya.

Selain mendapatkan nasihat perubatan, Dr Radzi menekankan kepentingan gaya hidup sihat dengan menggalakkan rakyat Malaysia agar mengamalkan diet seimbang, melakukan senaman secara teratur dan memberi keutamaan kepada tidur yang mencukupi.

Beliau turut menyarankan agar generasi muda untuk mengutamakan kesihatan mereka meskipun berdepan kekangan tekanan kerja dan rutin seharian.

"Kehidupan boleh menjadi sibuk pada masa kini, tetapi penting untuk kita mengekalkan gaya hidup sihat dengan kerja dan rehat yang seimbang, tidur yang cukup, diet berkhasiat, memastikan hidrasi yang baik, dan senaman secara berkala," katanya.

-- BERNAMA

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan