AM > BERITA

Perkukuh Infrastruktur R&D Perkasa Malaysia Sebagai Peneraju Penyelidikan Global 

19/08/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Memperkukuh infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama dalam perubatan serta penjagaan kesihatan digital akan memperkasakan negara sebagai peneraju penyelidikan global dan hab kajian perubatan termaju.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pelaburan dalam R&D memacu pertumbuhan ekonomi dengan memupuk inovasi, mewujudkan pekerjaan berteknologi tinggi selain meningkatkan daya saing global.

Malaysia telah membuktikan kemampuan sebagai hab penting untuk penyelidikan klinikal di Asia Tenggara menerusi lebih 1,200 ujian klinikal tajaan yang dijalankan pada 2023. 

“Tugas cemerlang yang dilaksanakan penerima Geran Penyelidikan RBS memainkan peranan penting kepada matlamat negara untuk memajukan pembangunan vaksin, penyelidikan kanser dan kesihatan awam.

“Kami komited membina momentum ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam komuniti penyelidikan perubatan global,” kata Chang dalam ucapannya pada Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan RBS 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chang berkata pencapaian itu sejajar dengan objektif dan bidang tumpuan Rangka Kerja 10-10 MySTIE yang dilancarkan pada 2020 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bersama Dasar Kebangsaan mengenai STI 2021-2030.

“Matlamat kami bagi meningkatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 sebagai bukti komitmen kami terhadap inovasi serta pertumbuhan ekonomi.

“Malaysia Science Endowment (MSE) ialah inisiatif kritikal dalam mencapai sasaran ini, membolehkan kami memanfaatkan sumbangan dermawan dan perkongsian strategik untuk menyokong penyelidikan berkesan yang memenuhi keperluan negara,” katanya.

Sementara itu, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata ASM berbesar hati dan bertuah kerana diberi kepercayaan untuk menguruskan Geran Penyelidikan RBS.

Beliau berkata pada tahun ini ASM menerima 84 cadangan penyelidikan untuk menangani cabaran berkaitan kesihatan dalam genomik, bioteknologi serta rawatan penyakit seperti kanser dan penyakit tidak berjangkit.

Pada majlis itu, Chang menyampaikan Geran Penyelidikan RBS 2024 berjumlah RM50,000 kepada pensyarah kanan Universiti Malaya Dr Muhammad Farid Nazer Muhammad Faruqu.

Dr Muhammad Farid Nazer akan meneruskan penyelidikannya bertajuk 'Investigating EVbodies - Bioengineered Extracellular Vesicles (EVs) as Nano-Neutralising Agents Against EGF in Attenuating EGFR-driven Lung Cancer.'

Dana Amanah Perubatan RBS hasil inisiatif mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, individu dermawan dan berwawasan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan selain pernah membiayai 28 projek penyelidikan serta 11 bengkel teknikal sejak penubuhannya pada 1997.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan