AM > BERITA

Ahmad Husaini Dilantik Sebagai Ketua Pentadbir Parlimen Yang Baharu

19/08/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, pelantikan Ahmad Husaini bagi menggantikan Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali yang bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)  Jabatan Perdana Menteri pada tarikh sama.

Ahmad Husaini yang merupakan anak jati Bota, Perak, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau memulakan kerjaya di dalam perkhidmatan awam pada 24 April 2000 dan pernah berkhidmat di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ahmad Husaini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp pada 4 Okt 2023.

“Dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau, diyakini akan dapat menggalas tanggungjawab untuk terus membangunkan Parlimen Malaysia sebagai sebuah institusi legislatif yang berkesan, bertanggungjawab serta telus di semua peringkat,” menurut kenyataan itu.

Warga Parlimen Malaysia turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Husaini atas pelantikan itu serta menzahirkan penghargaan kepada Muhamad Zamani atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di Parlimen Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan