AM > BERITA

Sarawak Akan Mula Eksport Karbon Selepas Undang-undang Penghantaran Rentas Sempadan Dimuktamadkan

19/08/2024 08:43 PM

KUCHING, 19 Ogos (Bernama) -- Sarawak akan memulakan perdagangan karbon selepas undang-undang berkaitan penghantaran rentas sempadan dimuktamadkan kerajaan Persekutuan, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata undang-undang tersebut akan dibentang terlebih dahulu di Parlimen pada November depan dan Sarawak akan bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menentukan harga jualan karbon dengan merujuk kepada protokol London.

“Kita sudah ada proposal (cadangan), ini adalah berkaitan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon  (CCUS), kita mesti ada undang-undang bagaimana kita menghantarkan karbon ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Hutan Sarawak (SFC), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) bagi kerjasama projek pemuliharaaan biodiversiti dan penyelesaian tenaga boleh baharu berasaskan alam semula jadi.

Abang Johari berkata walaupun undang-undang belum dimuktamadkan, tiada masalah bagi Sarawak untuk mengeluarkan lesen perdagangan karbon kerana perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tak ada masalah, itu bidang kuasa kita. Kita punya undang-undang sudah ada, hanya kita nak transport (penghantaran)…macam mana kita nak transport (hantar), contoh ke Singapura, perlu ada (perjanjian)kerajaan kepada kerajaan dan perkara ini boleh diselesaikan.

“Apabila parlimen luluskan barulah kita boleh berdagang… Sarawak sangat patuh dengan undang undang,” katanya.

Pada Ogos tahun lepas, Abang Johari dilaporkan berkata dua lesen bagi tujuan perdagangan karbon telah dikeluarkan di Sarawak membabitkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan kumpulan syarikat perkayuan, Samling Group.

Beliau berkata Petros mendapat lesen berkenaan bagi tujuan untuk penyimpanan karbon dalam kawasan bekas telaga minyak, manakala Samling pula adalah bagi projek karbon kawasan perladangan pokoknya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan