AM > BERITA

Penambahan Aset Tren Penumpang Perkasa Perkhidmatan KTMB - Loke

20/08/2024 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan kerajaan untuk menambah aset tren penumpang rangkaian kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), adalah bagi memperkasakan lagi perkhidmatan syarikat pengangkutan awam itu.

Beliau juga memberi jaminan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 bilion berkenaan, tidak akan menjejaskan kepentingan kakitangan KTMB termasuk dibuang kerja.

“Yang pertama kos pajakan itu ditanggung oleh kerajaan, sudah tentu ini satu kontrak daripada kerajaan. KTM pun syarikat milik kerajaan dan terima funding gap daripada kerajaan kalau tidak mencukupi.

“Kita akan ambil kira dari segi penyenggaraan, pembaikan dan kakitangan KTM. Ini sesuatu yang telah kita bincangkan sebelum membuat keputusan. Jadi tidak ada apa yang perlu dibimbangi oleh pihak mereka (pekerja KTMB), tiada siapa akan hilang kerja. Jadi mereka tak perlu bimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta Antara Malaysia Rapid Transit System (MRTS) dan Coronade Properties Sdn Bhd, di sini hari ini.

Loke berkata usaha drastik kerajaan untuk menambah bilangan tren penumpang berkenaan adalah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, sekali gus mengatasi keluhan rakyat yang mengatakan mutu perkhidmatan KTMB merosot dan tidak memuaskan.

Pada 14 Ogos, Loke dilaporkan berkata kerajaan bersetuju melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren penumpang untuk rangkaian kereta api KTMB, dengan kaedah pajakan.

Menurut Loke, kaedah pajakan itu akan dilaksanakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dengan China, sebagai langkah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagi tempoh Fasa 1 iaitu dari 2024 hingga 2027 pelaksanaan strategi baharu itu menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 bilion, yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan