AM > BERITA

Teknologi Bahan Turapan Campuran Khas Tingkat Daya Tahan, Jangka Hayat Jalan Raya

21/08/2024 12:44 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KOTA BHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Peningkatan jumlah beban trafik terutama kenderaan berat serta aliran air dalam struktur tanah di bawah turapan menjadi antara penyebab permukaan jalan raya rosak dan berlubang sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan maut.

Mengikut statistik Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) Kementerian Kerja Raya (KKR),  181 kes kemalangan direkodkan meliputi 23 kes maut, cedera parah (tujuh kes), cedera ringan (68 kes) dan kenderaan rosak (83 kes) akibat jalan berlubang dari 2022 hingga Julai 2024.

Menyedari masalah berkenaan yang sering berlaku di sepanjang 16,218.47 kilometer (km) jalan Persekutuan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata KKR telah menggunakan teknologi bahan turapan dikenali sebagai specialty mix atau campuran khas untuk menambah baik daya tahan struktur, selain memanjangkan jangka hayat jalan raya.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa berusaha meneroka ilmu dan inovasi baharu dalam pembinaan jalan raya sama ada dari segi jentera pembinaan, kaedah kerja dan bahan bagi mengoptimumkan kos, masa dan kualiti pembinaan jalan raya.

"Perubahan spesifikasi bahan binaan jalan juga sentiasa dipertimbangkan berdasarkan keperluan perkembangan semasa dan kita berpandangan teknologi campuran khas akan menjadi bahan utama penurapan sekiranya mampu mengatasi prestasi bahan konvensional," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata specialty mix menggunakan bahan tambahan kepada bahan asas campuran asfalt iaitu bitumen dan agregat simen yang berfungsi sebagai penguat campuran asfalt.

Setakat ini, terdapat lapan bahan turapan campuran khas yang digunakan di Malaysia iaitu Super Fibre Mix (SFM), Stone Mastic Asphalt (SMA), Cuplump Modified Asphalt (CMA), Polymer Modified Asphalt (PMA), Latex Modified Asphalt (Latex), Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA), Fibre Modified Asphalt (FMA) dan MR6-Plastic.

Nanta berkata teknologi itu direka bentuk untuk mengatasi isu-isu spesifik berkaitan turapan seperti laluan kenderaan berat, air larian permukaan yang tinggi dan laluan mendaki, malah dapat meningkatkan daya tahan lasak struktur permukaan jalan.

"Terdapat empat komponen utama dalam campuran bahan itu iaitu agregat kasar dan halus, bahan pengisi, bitumen dan bahan tambahan bergantung pada resipi campuran untuk memberi daya rintangan yang baik terhadap kerosakan daripada jenis pengeluman dan keretakan fatig. 

"Jenis bahan-bahan yang digunakan juga akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti kawasan sering dilalui kenderaan berat terutamanya di laluan utama dan laluan perindustrian, laluan berselekoh, laluan mendaki, persimpangan dan jarak pembekalan asfalt ke lokasi pembaikan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Datuk Ibrahim Esa berkata 1,130 lokasi penyelenggaraan telah dijalankan menggunakan bahan teknologi campuran khas di jalan Persekutuan di seluruh negara dari 2018 hingga 2023.

Antara lokasi terlibat ialah projek membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 serta Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) di Selangor, projek pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands di Jalan Baharu dari Habu ke Tanah Rata, Pahang dan projek Jalan Raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang (Pakej 6A) iaitu dari Aring ke sempadan Kelantan dan Terengganu.

"Kaedah dan bahan penurapan jalan campuran khas ini dilihat semakin meningkat maju pada masa kini dan berpotensi untuk dilaksanakan sekiranya peruntukan awal bagi pelaksanaan projek infrastruktur jalan mengambil kira elemen teknologi baharu.

"Ia harus disokong oleh semua pihak bagi menyahut cabaran negara maju agar dapat menjamin kos kitaran hayat projek yang optimum," katanya.

Berikut lapan bahan turapan campuran khas dan ciri-cirinya yang digunakan di Malaysia:

 

1. Super Fibre Mix (SFM) - Gentian yang ditambah memberikan kekuatan 3D kepada asphalt.

2. Stone Mastic Asphalt (SMA) - Menggunakan reka bentuk campuran yang unik dengan bahan

tambahan dari jenis serat selulosa.

3. Cuplump Modified Asphalt (CMA) - Turapan teknologi hijau dengan penggunaan getah sekerap asli

sebagai bahan tambahan.

4. Polymer Modified Asphalt (PMA) - Menggunakan polimer sebagai bahan tambahan untuk

meningkatkan kekuatan bitumen yang diubah suai.

5. Latex Modified Asphalt (Latex) - Turapan teknologi hijau dengan penggunaan susu getah asli.

6. Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA) - Turapan teknologi hijau dengan sisa tayar terpakai diproses

menjadi getah cebis. 

7. Fibre Modified Asphalt (FMA) - Menggunakan bahan tambah dari jenis gentian kelapa sawit. 

8. MR6-Plastic - Turapan teknologi hijau dengan penggunaan sisa plastik.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan