AM > BERITA

JKM Tempatkan Anak Kedua Suspek Kes Bunuh Di Tempat Selamat

21/08/2024 12:59 PM

ALOR SETAR, 21 Ogos (Bernama) -- Kanak-kanak lelaki etnik Rohingya berusia lima tahun yang ditemukan selamat dalam kes pembunuhan ibu dan kakaknya akan ditempatkan di satu tempat selamat di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Kedah Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk pemeriksaan dan rawatan, petang semalam.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan tidak mengalami kecederaan, namun masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

“Terdapat kesan luka lama di bawah pipi kanak-kanak itu, tetapi kecederaan lain tidak ada. Dia boleh bercakap dan bila diberikan mainan, dia mahu bermain, tetapi dia seperti dalam dunia dia sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Halimaton Shaadiah berkata langkah penyelamatan kanak-kanak bukan warganegara itu adalah selari dengan Seksyen 17(1)(i) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1995.

Beliau berkata JKM juga akan mengenal pasti waris kanak-kanak itu bagi memastikan kebajikannya terjaga selain mengalu-alukan komuniti etnik Rohingya di negara ini sekiranya ada yang mahu menjaga kanak-kanak berkenaan.

Mayat seorang wanita warga asing dan anak perempuannya, masing-masing berusia 43 tahun dan 10 tahun ditemukan dengan kesan kelar pada leher di dalam longkang di belakang bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala di sini pada 5 petang, Isnin lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga suami dan bapa mangsa ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang pada 9 malam hari sama.

 Polis turut menyiasat penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah, semalam yang dipercayai anak bongsu suspek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan