AM > BERITA

Himpunan Solidariti Raja, Rakyat Berpisah Tiada Berlangsung Aman Di Kuantan

22/08/2024 12:11 AM

KUANTAN, 21 Ogos (Bernama) -- Himpunan solidariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada anjuran Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) di hadapan Masjid Sultan Ahmad 1 di sini petang tadi berlangsung dengan aman tanpa sebarang unsur provokasi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata hampir 100 peserta menyertai perhimpunan itu yang berlangsung kira-kira sejam bermula 5 petang. 

"Pemantauan telah dibuat oleh pihak polis dan ia berlangsung dalam keadaan aman tanpa ada sebarang insiden tidak diingini," katanya di sini hari ini. 

Peserta perhimpunan pada mulanya dijadualkan berhimpun di pekarangan masjid berkenaan sebelum berarak ke menara Kuantan 188, namun atas faktor keselamatan selepas dinasihatkan pihak polis mereka akur dan hanya berkumpul berhampiran masjid. 

Peserta turut kelihatan membawa sepanduk yang tertera antaranya Daulat Tuanku, Jangan Hina Sultan Kami, Mahasiswa Bersama Sultan dan Pertahankan Kedaulatan Institusi Diraja. 

Sementara itu, Pengerusi MAMPAN Aidid Fadhullah Abdul Sukor berkata tujuan perhimpunan itu adalah  sebagai isyarat kepada ahli politik bahawa golongan muda cakna terhadap situasi semasa terutamanya yang menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja). 

“Ahli politik tidak kira daripada mana-mana parti tidak seharusnya menyentuh isu 3R, sesiapa yang terlibat sepatutnya dikenakan tindakan sewajarnya, jika nak berpolitik berpada-pada," katanya ketika ditemui pemberita. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan