AM > BERITA

Hari Kebangsaan: Program 6,700 Langkah Jiwa Merdeka Raikan Semangat Patriotisme

22/08/2024 10:02 PM

 

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Program Brisk Walk 6,700 Langkah Jiwa Merdeka diadakan hari ini bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 peringkat Kementerian Komunikasi. 

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata program 6,700 langkah itu bersempena Hari Kebangsaan ke-67 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini selain meraikan semangat kemerdekaan serta perpaduan.

"Seramai 150 warga Kementerian Komunikasi berjalan bersama, membawa Jalur Gemilang untuk menunjukkan semangat patriotisme," katanya kepada media selepas selesai program itu di sini hari ini.

Mohamad Fauzi berkata selain itu, penganjuran program ini adalah untuk menyahut cabaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggalakkan program ke arah meningkatkan taraf kesihatan dan kualiti hidup.

Beliau mengajak semua kementerian di peringkat Persekutuan dan negeri, agensi dan badan berkanun untuk menggalakkan aktiviti yang menyemarakkan semangat perpaduan dan kemerdekaan.

Mohamad Fauzi juga mengingatkan semua pihak untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak dan tidak lusuh di mana-mana sahaja terutamanya di kediaman, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan