AM > BERITA

Orang Ramai Dinasihat Datang Awal, Guna Pengangkutan Awam Ke Sambutan Hari Kebangsaan 2024

23/08/2024 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Orang ramai yang mahu menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, dekat sini pada 31 Ogos ini dinasihatkan supaya datang awal serta menggunakan pengangkutan awam berikutan penutupan beberapa jalan utama pada hari berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata penutupan jalan pada hari itu dibuat seawal 4 pagi, manakala ada beberapa jalan utama mula ditutup pada 30 Ogos.

“Yang paling penting datanglah awal kerana penutupan jalan ini akan dibuat awal. Untuk Core Island iaitu empat jambatan utama (di Putrajaya) kita dah tutup sejak 30 Ogos lagi, manakala lain-lain jalan akan dibuat seawal 4 pagi (31 Ogos). 

“Kalau tiba awal insya-Allah kita boleh sampai dengan selamat dan boleh dapat tempat duduk yang selesa dan sesuai,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM1 hari ini.

Beliau berkata pihak penganjur menyediakan sebanyak 80 bas perantara yang akan beroperasi dari 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos ini bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke tempat sambutan sekali gus mengurangkan kesesakan trafik.

Selain itu, Rusdi berkata turut disediakan zon kutipan dan tempat parkir bagi pengunjung yang membawa kenderaan sendiri.

“Untuk sambutan tahun ini, pihak penganjur buat pertama kalinya menyediakan enam teksi air dan tiga cruise untuk kemudahan pengunjung. Usaha ini dibuat oleh jawatankuasa penganjur untuk memudahkan orang ramai datang.

“Selain itu, nasihat untuk orang ramai yang datang supaya tidak meletakkan kenderaan sesuka hati kerana ini akan mengganggu lalu lintas secara keseluruhan. Sentiasa lihat pemakluman yang dibuat dari semasa ke semasa, kalau ada perubahan,” katanya.

Beliau berkata seramai 1,988 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan dan kawalan trafik sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang dijangka bermula pukul 8 hingga 10 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan