AM > BERITA

Isu 3R: PM Tegaskan Beliau Tidak Campur Tangan Siasatan Terhadap Muhyiddin

23/08/2024 06:32 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan mencampuri siasatan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh institusi diraja ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau berkata siasatan itu dijalankan mengikut saluran undang-undang dan menyerahkan perkara tersebut kepada Peguam Negara.

“Kita ikut jalur (undang-undang), serah kepada siasatan (polis) dan juga Peguam Negara. Saya tidak campur urusan (itu),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini hari ini.

Muhyiddin didakwa membuat ucapan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Kelantan baru-baru ini menyebabkan ramai pihak tampil membuat laporan polis.

Muhyiddin juga dikatakan mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan