AM > BERITA

Tanah Jerlus Masjid India: Peniaga Risau Keselamatan

23/08/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Peniaga di sekitar kawasan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India mahu pihak berkuasa melakukan pemantauan berterusan di tempat berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan bukan kali pertama kes seperti itu berlaku.

Peniaga minyak wangi Hanif Nazrin, 27, mendakwa kejadian sama pernah terjadi beberapa kali sebelum ini dengan terbaharu pada Jun lepas menyebabkan pihak  berkuasa menutup jalan berkenaan selama sebulan sebelum dibuka semula beberapa minggu lepas. 

"Mendapan itu juga menyebabkan kejadian paip pecah sehingga menjejaskan aktiviti perniagaan di kawasan berhampiran jadi kita bimbang dengan kejadian yang sama berterusan, dan mahu pihak berkuasa ambil tindakan segera untuk mengatasinya,” katanya.

Nazrin berkata semasa kejadian tanah jerlus berlaku di hadapan kedainya pada 8.30 pagi tadi, kedainya masih belum beroperasi dan hanya mengetahui perkara itu sebaik tiba di kedainya.

Bagaimanapun, beliau akur apabila pihak berkuasa mengarahkannya serta beberapa peniaga lain di kawasan berhampiran menutup sementara operasi  bagi membolehkan kerja-kerja mencari dan menyelamat dijalankan.

Peniaga pakaian Mohammed Mahathir, 45, turut senada dengan Hanif yang mahu pihak berkuasa menjalankan pemantauan berterusan memandangkan kawasan itu menjadi antara tumpuan pelancong  dari dalam dan luar negara.

"Pihak berkuasa akan datang buat pemantauan apabila ada laporan atau paip pecah namun tidak disusuli dengan pemeriksaan lain sedangkan perkara ini melibatkan soal keselamatan.

"Ini kawasan pelancong dan orang tempatan juga selalu datang membeli-belah di sini, jadi pihak berkenaan perlu sentiasa mengambil berat tentang keselamatan dan keperluan di kawasan ini, " katanya yang sudah menetap di Jalan Masjid India sejak berusia lima tahun.

Selain itu, Mohd Fairuz Siddiq Firdaus, 24, yang bekerja di premis pengurup wang sejak dua tahun lepas berkata kejadian banjir kilat akibat limpahan air Sungai Klang sering berlaku menyebabkan dia risau kejadian tanah mendap akan menjadi lebih teruk berikutan hujan lebat sejak kebelakangan ini.

“Kita risau, jika tiada pemeriksaan rapi dilakukan selepas ini oleh pihak berkuasa yang berkaitan,  hal yang lebih serius akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga India yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah jerlus itu masih giat dilakukan anggota penyelamat.

Walaupun hujan lebat, operasi mengorek kawasan mendapan tetap diteruskan dengan menggunakan  dua jentera pengorek.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan